POLITIK BERTERASKAN IDEA


KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 13)

DARI SUDUT LAIN

Apabila kita berbicara mengenai politik idea, kita mestilah melihat kepada sudut-sudut positif yang dibawa oleh setiap pemain politik tanahair. Tanpa menafikan sisi-sisi negatif yang terdapat pada setiap parti, untuk memacu negara ke arah anjakan paradigma, kita haruslah mengenepikan elemen-elemen kelemahan yang ada, dan perlu memfokuskan kepada percambahan idea dan perbincangan solusi secara kritikal dan analitikal.

Sehingga sekarang, PAS mendahului parti-parti dan pakatan lain dari sudut percambahan idea. Bermula daripada Dokumen Negara Islam, Unity Government, Dokumen Negara Berkebajikan, BPMS, Dokumen Hijau, kerajaan teknokrat dan yang terbaru adalah WINS. Sejak awal penubuhan, parti tersebut hakikatnya menawarkan berbagai alternatif dalam pentadbiran negara walaupun bermacam persepsi negatif dihamburkan.

Mungkin disebabkan sudah lama dalam politik, pembawaan mereka semakin hari semakin matang. Idea-idea yang mereka utarakan tampak lebih rasional dan bukan hanya retorik.

Sebagai contoh, Dokumen Hijau yang ditawarkan sebagai solusi semasa ekonomi negara. Perbincangan yang dibawa adalah holistik walaupun memfokuskan kepada beberapa isu utama sahaja. Mereka bukan sekadar mengutamakan kepentingan rakyat, tetapi juga mengambil kira keperluan negara. Bukan sekadar memfokuskan kehendak rakyat, tetapi turut diimbangi dengan kemampuan negara.

Untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat, cuba kita lihat pada perbahasan mengenai solusi kos sara hidup dalam Dokumen Hijau. Antara cadangan mereka adalah mengskrukturkan semula sistem pembiayaan rumah kediaman. Ini kerana rumah merupakan kos paling besar yang ditanggung oleh setiap rakyat dan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan boleh guna mereka. Dengan mengurangkan atau mengatasi masalah kos pembiayaan rumah, kuasa beli rakyat untuk keperluan hidup lain akan meningkat dan mampu menstabilkan ekonomi mereka.

Dokumen Hijau mencadangkan dua solusi pemilikan rumah iaitu apa yang dinamakan sebagai skim Musyarakah dan skim Sukuk Al-Ijarah. Daripada namanya, kita sudah mengetahui ia adalah skim yang Islamik, sesuai dengan perjuangan parti tersebut.

Musyarakah adalah skim bagi menyelesaikan masalah deposit rumah. Antara punca ramai rakyat Malaysia terutama generasi muda masih tidak memiliki rumah adalah kerana tidak mampu menabung untuk bayaran deposit. Justeru melalui skim musyarakah, kerajaan membayar dahulu wang pendahuluan yang ditentukan bank peminjam kepada pembeli dengan kadar yang mampu meringankan ansuran bulanan mereka. Pembeli hanya membayar balik kepada kerajaan setelah semua hutang rumah dilangsaikan kepada bank peminjam.

Kaedah ini bukan sekadar meringankan pembeli, malah meringankan beban bank juga kerana pembeli boleh mendahulukan hutang mereka dengan bank sebelum membayar pembiayaan kerajaan. Pemaju juga beroleh manfaat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan permintaan rumah dari berbagai peringkat harga.

Skim kedua pula adalah Sukuk Al-Ijarah. Ia adalah solusi bagi mengurangkan beban ansuran bulanan. Pemilikan rumah dipecahkan kepada instrumen sukuk. Contohnya rumah berharga 500000 jika dipecahkan kepada 10 sukuk akan bernilai 50000 setiap unit sukuk. Sukuk itu pula ditawarkan kepada pelabur untuk dimiliki.

Pembeli akan membayar ansuran rumah kediaman mereka secara sewaan kepada pemilik sukuk. Dalam masa yang sama, pembeli digalakkan untuk membeli semula sukuk tersebut daripada pemilik sukuk secara berperingkat mengikut nilaian semasa.

Beberapa pihak akan beroleh manfaat daripada skim ini. Pertama sekali adalah pembeli rumah tersebut. Mereka akan menikmati kos ansuran yang rendah jika mereka berjaya memilik sukuk-sukuk tersebut kembali. Kedua adalah bank kerana mereka berjaya mengurangkan risiko pembiayaan disebabkan yang berurusniaga dengan mereka adalah para pelabur yang memiliki status kewangan yang lebuh kukuh. Pelabur juga mendapat manfaat apabila peluang pelaburan berskala kecil lebih banyak ditawarkan. Pemaju juga beroleh untung kerana permintaan rumah akan terus bertambah.

Skim ini bakal dihadkan kepada pemilikan rumah pertama sahaja. Secara tidak langsung, skim ini mampu mengekang peningkatan harga rumah dengan mendadak. Selama ini harga rumah dipacu dengan permintaan pelabur hartanah spekulatif, bukan permintaan pemilik sebenar yang memerlukan rumah tersebut.

Secara umumnya, skim-skim yang ditawarkan ini berkonsepkan win-win situation. Banyak pihak akan berkongsi manfaat, sekaligus mengurangkan gejala monopoli kapitalis dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di peringkat kelas menengah dan bawahan.

Tulisan ini bukanlah menganggap ini tawaran yang paling baik. Tetapi sehingga kini masih belum ada tawaran lain dari parti politik lain. Tawaran ini juga masih boleh diperbincangkan dan dilumatkan agar akhirnya mendapat solusi yang benar-benar baik untuk rakyat dan negara.

Syabas PAS! Anda telah membuka ruang untuk wacana politik kenegaraan yang sihat.

 



Comments
Loading...