Pas ingin menghadap Sultan Selangor


(SH) – PAS Selangor tidak menolak kemungkinan akan menghadap Sultan Selangor minggu ini, sekiranya masalah pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat mereka tidak diselesaikan dengan segera.

Menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi, Pas Selangor akan meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi memperjelaskan mengapa peruntukan disalurkan kepada ahli parlimen dan Adun Pas telah disekat.

“Sekiranya Mohamed Azmin tidak dapat memberikan jawapan munasabah, kami merancang akan menghadap sultan,” kata Sallehen seperti dipetik dalam China Press.

Akhbar ini difahamkan, pada Disember tahun lalu, sudah ada desas-desus menyatakan Kerajaan Selangor akan membekukan peruntukan kawasan yang disalurkan kepada semua 13 Adun Pas Selangor dan lima penyelaras Dun.

Pada awal bulan ini, khabar angin itu dikatakan menjadi kenyataan apabila 13 Adun Pas dan lima penyelaras Dun berkenaan, telah diberitahu semua peruntukan mereka dibekukan kerajaan negeri ketika mereka menghantar permohonan.

Menurut Sallehen, beliau diberitahu oleh Bendahari Selangor bahawa segala peruntukan kawasan kepada wakil rakyat Pas negeri dan penyelaras Dun telah disekat, dan adalah dipercayai arahan itu daripada Mohamed Azmin.

“Sehingga hari ini, saya hanya diberitahu secara lisan dan belum menerima sebarang surat pemberitahuan secara rasmi,” katanya.

Sallehen menegaskan, Adun Pas dipilih rakyat dan mereka adalah wakil rakyat, oleh itu, Kerajaan Selangor tidak patut melayani mereka sebagai parti pembangkang dengan membekukan peruntukan kawasan.



Comments
Loading...