KISAH-KISAH KEJAYAAN KELANTAN YANG DIPENDAMKAN
DARI SUDUT LAIN
Bercerita tentang PAS, pasti orang akan terbayang Negeri Kelantan. Negeri ini boleh dianggap kubu kuat PAS sejak zaman berzaman. PAS mula memenangi pilihanraya memerintah Kelantan buat pertama kali pada tahun 1959, namun tewas pada tahun 1978. PAS bangkit kembali dalam Pilihanraya Umum tahun 1990, dan mengekalkan penguasaan di negeri tersebut sehingga ke hari ini.
Cerita berkenaan kejayaan-kejayaan Kelantan kurang mendapat liputan media, melainkan sisi-sisi negatif kerajaan samada melalui media perdana mahupun media alternatif. Sejak zaman Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri lagi, media sering mempotretkan Kelantan sebagai negeri yang mundur, huru-hara dan menakutkan. Tetapi jika dikaji perkembangan sebenar di Kelantan, negeri tersebut jauh lebih baik daripada yang digambarkan.
Melihat petikan ucapan Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada majlis Amanat YAB Menteri Besar sempena menyambut Tahun 2018, menunjukkan Kelantan terus berada pada prestasi yang boleh dibanggakan. Pertamanya negeri tersebut berjaya meningkatkan pungutan hasil sebanyak RM 566.52 Juta pada tahun 2017, berbanding RM 497.20 Juta pada tahun 2016. Perkara ini selain menunjukkan ketelusan dan keberkesanan jentera kerajaan, ia juga menjadi penanda bahawa kedudukan ekonomi negeri dan rakyatnya semakin baik.
Kelantan berbeza dengan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain. Di saat semua negeri membentangkan penambahan perbelanjaan mereka bagi tahun kewangan 2018 atas faktor ‘gula-gula’ pilihanraya, Kelantan sebaliknya melakukan penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM 2.9 juta pada tahun 2017 berbanding tahun 2016. Ini menunjukkan kerajaan Kelantan lebih berdikari dan memiliki kebebasan tersendiri dalam mengurus ekonomi. Satu pencapaian yang boleh dianggap memberangsangkan kerana mereka sebelum ini pernah dilanda tragedi banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun.
Selain itu, menurut SUK negeri, anggaran lebihan atau surplus belanjawan Kerajaan Negeri 2017 adalah sebanyak RM 38.76 juta berbanding defisit pada tahun 2016 sebanyak RM 33.47 juta. Disaat negara berdepan dengan masalah belanjawan defisit hampir 20 tahun, Kelantan menunjukkan contoh pengurusan kewangan yang baik. SUK menyifatkan tahun 2017 merupakan pencapaian kewangan terbaik dalam tempoh 26 tahun.
Agensi kerajaan Negeri Kelantan diiktiraf sebagai salah satu jabatan yang terbaik dalam aspek pengurusan kewangan di Malaysia. 12 jabatan serta agensi negeri mendapat penarafan lima bintang oleh Jabatan Audit Negara tahun 2016. Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berada di kedudukan teratas dengan markah 99% dan Pejabat Perbendaharaan Negeri sebanyak 98.61%. Selain itu, Perbendaharaan Negeri Kelantan mendapat penarafan cemerlang lima bintang Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan tahun 2016 dalam audit yang dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia.
Selain pencapaian terkini, Kelantan juga masih mengekalkan rekod sifar korupsi. Sehingga kini pemimpin dan pegawai Kerajaan Negeri Kelantan adalah bersih dan bebas daripada dakwaan dan sabitan rasuah oleh Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaupun ramai mempertikaikan kemampuan YAB Menteri Besar, Dato Mohamad Yaakob, dibandingkan dengan Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, segala catatan prestasi di atas telah menjawab segala pertikaian sebelum ini.
https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2053136781587345
Tidak dinafikan, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kebelakangan ini turut membantu pencapaian negeri. Prinsip BPMS yang digagaskan parti tersebut telah membuka ruang bantu-membantu yang agak baik antara dua entiti kerajaan itu. Kerajaan pusat sebelum ini menganaktirikan negeri Kelantan daripada pembangunan dan bantuan. Tetapi dalam perkembangan terbaru, Kerajaan Pusat telah memberikan komitmen yang agak baik kepada Kelantan. Ini diakui oleh Kerajaan Negeri sendiri.
https://www.bharian.com.my/node/11498
Antara kesan terbesar yang bakal dikecapi oleh rakyat daripada hubungan baik yang berjaya dipulihkan antara dua entiti ini adalah projek lebuhraya pertama Kelantan yang sudah tertangguh sejak sekian lama. Selain itu, Kerajaan Pusat turut mendakwa bantuan mereka telah menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan daripada 0.9 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kadar-kemiskinan-di-kelantan-menurun-1.752594
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebuh-raya-di-kelantan-hampir-jadi-nyata-135180
Kesimpulannya, keadaan Negeri Kelantan sangat berbeza dari apa yang dilaporkan oleh media. Sekaligus menyanggah tanggapan terhadap PAS sebagai parti barisan lebai yang tidak layak mengurus kerajaan. Pendekatan BPMS yang mendapat kritikan hebat terutama oleh pihak PH juga sebenarnya satu langkah politik yang bijak diambil oleh PAS, sehingga memberi kesan yang amat positif kepada Kelantan. Satu perubahan yang agak drastik jika dibandingkan dengan kedudukan mereka sebelum BPMS diperkenalkan.
Satu lagi yang boleh diperkatakan adalah, prestasi Kelantan yang agak terkebelakang sebelum ini bukanlah berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, tetapi ia lebih kepada kekangan dan tekanan yang diterima oleh kerajaan kerana perbezaan politik antara pemerintah pusat dan negeri. Perkara ini membuktikan sekiranya berlaku anjakan dalam budaya politik negara ke arah kematangan dan keutamaan terhadap rakyat, berkemungkinan besar negara boleh bebas dari berbagai lagi belenggu yang sedang melanda.