MalaysiaMemilih Kalau lama sangat jadi Perdana Menteri nanti korup – Tun M


(Astro Awani) – Pakatan Harapan mempunyai idea menyeluruh untuk mengubah polisi kerajaan sedia ada, antaranya memastikan tempoh maksimum jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya seseorang itu memegang tampuk pemerintahan terlalu lama, dikhuatiri ia akan mengakibatkan individu berkenaan menjadi korup dan mudah salah guna kuasa.

“Kita mesti kembali kepada “separation of powers” (pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman). Tapi di masa yang sama, kita tidak mahu perdana menteri pegang jawatan terlalu lama, kerana jika anda berada di satu tempat terlalu lama, anda akan menjadi korup,” kata calon Perdana Menteri pilihan Pakatan harapan tersebut.

“Tetapi saya tidak tahulah kalau anda anggap saya korup sebab saya telah melalui empat, lima pilihan raya umum,” katanya merujuk kepada tempoh beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003).

Beliau berkata demikian kepada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, sewaktu menerangkan manifesto yang bakal Pakatan Harapan laksanakan seandainya mereka menerima mandat rakyat sewaktu pilihan raya umum yang akan datang.

Dr Mahathir turut berkata, dua penggal merupakan tempoh yang ideal untuk seseorang perdana menteri melaksanakan polisi bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Katanya lagi, sekiranya jawatan itu dihadkan kepada satu penggal sahaja, dikhuatiri perdana menteri seterusnya tidak akan meneruskan mana-mana polisi yang telah dirangka oleh pentadbiran sebelumnya, sedangkan ia dilihat mempunyai kesan positif kepada rakyat dan negara.

 



Comments
Loading...