Undi rosak dan Mahathir
Hasmi Hashim
Kempen undi rosak adalah rentetan daripada satu kempen senyap yang lebih besar sebelum ini, iaitu memboikot terus pilihan raya. Ia bergerak di dalam grup-grup whatsapp di kalangan masyarakat Cina.
Ketika itu masyarakat Cina kecewa dengan pergeseran di dalam pakatan pembangkang yang tak berkesudahan. Terutamanya perbalahan DAP-PAS yang menyebabkan PAS disisih dan dikeluarkan daripada gabungan utama.
Rentetan itu, PAS menjadi semakin keras untuk membentangkan RUU 355 di parlimen. Bagi PAS, itu adalah hak PAS. Bagi masyarakat Cina, RUU 355 adalah hudud.
Alangkah ‘pintarnya’ idea rosakkan undi ini
Sokongan mereka sekurang-kurangnya dalam dua kali PRU bukan sahaja dirasai dikhianati PAS, bahkan turut mengecewakan dengan tidak adanya kebijaksanaan DAP berunding dengan PAS. Tak ada istilah menarik rambut dalam tepung sama sekali.
Tanpa PAS, usaha menewaskan BN adalah mimpi di siang hari. Di banyak kerusi DAP sekalipun, kemenangan dicapai dengan jumlah pengundi PAS yang mengundi DAP. Selepas ini, tiada lagi.
Tuduhan PAS bekerjasama dengan UMNO juga tinggal bangkai tuduhan. Tak ada bukti termasuk jutaan ringgit yang konon diterima pemimpin tertentu PAS. Datuk Seri Abdul Hadi Awang misalnya, kekal hidup dalam keadaan sederhana dan sama seperti sebelumnya.
Boikot pilihan raya
Hadi dan PAS juga membuktikan, kalau pun ada apa yang disebut “kerjasama” adalah dalam hal-hal bukan politik. Misalnya dalam kepentingan bersama yang melibatkan persoalan agama, bangsa dan isu-isu kemanusiaan.
Mustahil dalam isu Rohingya, PAS tidak boleh sepentas dan sehaluan dengan UMNO sama sekali. Membuka pintu kerjasama bukan politik PAS-UMNO adalah kebijaksanaan yang tidak disenangi oleh banyak pihak.
Salahnya hanya satu. Sebab langkah berkenaan bukan diorak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bayangkan kalau Anwar yang memulakannya, tentu tak ada bantahan dan kecurigaan sepertimana yang wujud sekarang.
Mungkin sahaja dikatakan langkah sebegitu adalah paling bijak dalam sejarah politik negara.
Hasutan memboikot pilihan raya itu bukan sahaja satu bentuk kekecewaan masyarakat Cina kepada gabungan pembangkang, lebih khusus juga kepada DAP.
Masyarakat Cina akar umbi sebenarnya cukup tahu, mencari masalah dengan PAS tidak akan menjadikan pakatan pembangkang berjaya mengalahkan BN.
Apa yang lebih penting adalah berdepan dan mengalahkan BN. Bukan bergaduh dengan PAS.
DAP ‘abang besar’ pembangkang
Congak politik masyarakat Cina adalah mudah: kalau mahu mengalahkan BN, perlu kerjasama dengan PAS, atau, kalau mahu mengalahkan PAS perlu kerjasama pula dengan UMNO. Pilih sahaja salah satu.
Tetapi apa yang dilakukan ke atas PAS telah menyebabkan nasi menjadi bubur.
Keadaan tersebut juga telah mengiyakan tuduhan Umno-BN selama ini bahawa DAP adalah ‘taiko’ atau ‘abang besar’ di dalam pakatan pembangkang.
Apabila mendapat kerusi yang banyak, DAP mula menunjukkan kuku dan taringnya — membuat onar dan memporak-perandakan parti rakan. Selalunya misi itu dilakukan selepas PRU.
Semua itu menyebabkan peluang pakatan pembangkang untuk mencapai kemenangan semakin dan semakin tipis. Apa yang dilakukan DAP hanya untuk memastikan Pulau Pinang kekal kepada DAP di bawah keluarga Lim.
Nasib kerajaan seperti Selangor, pandai-pandailah gabungan di Selangor menyelamatkannya sendiri.
Ikrar sejuta kali pun untuk menyokong Anwar sebagai PM hanyalah tebu di pinggir bibir sahaja. Apalah gunanya ikrar itu kalau tetap kalah di peringkat persekutuan?
Akhirnya PAS berjaya dipecahkan; Umno terus diburukkan; MCA dilemahkan sama sekali; Anwar kembali terpenjara; dan, DAP memunggah segala kekuatan dan keuntungan politik yang tak pernah diperolehi sejak ditubuhkan pada 1965.
Dr M kambing hitam
Dan setiap kekalahan perlu ada alasan. Samalah dengan setiap kejadian buruk diperlukan kambing hitam untuk disembelih nanti. Kebetulan di ketika sama, muncul pula Tun Dr Mahathir Mohamad. Dialah calon terbaik!
Menamakan Dr Mahathir sebagai calon PM Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai dua tujuan.
Tujuan yang nyata adalah untuk kononnya memukau orang Melayu supaya mengundi HARAPAN. Satu lagi tujuannya ialah, kalau HARAPAN gagal lagi ke Putrajaya, maka Dr Mahathir kali ini adalah alasan atau kambing hitam itu.
Mungkin sudah menjadi nasib Dr Mahathir untuk menadah segala tuduhan jelik apabila sesuatu yang buruk berlaku. Dulu, ketika tercetusnya Reformasi 1998, wajahnya bukan sahaja diconteng sebagai seorang diktator, bahkan digelar pula sebagai “mahafiraun” dan “mahazalim”.
Kini apabila kempen undi rosak menyebar ke seluruh negara, maka di sebaliknya adalah suara untuk menyalahkan Dr Mahathir atas segala yang buruk nanti.
Selagi Dr Mahathir hidup, itulah yang enaknya menjadi rakyat Malaysia kerana kalau ada kejadian hilang kasut di masjid sekalipun, kita boleh menyalahkan dia.