Pas Selangor sedia tawar kerusi untuk Abdul Khalid
(Sinar Harian) – Pas Selangor bersedia menawarkan kerusi kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya Adun Pelabuhan Klang itu berubah fikiran untuk menyertai parti Islam tersebut.
Pengarah Pilihan Rayanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, fasa memujuk Abdul Khalid berterusan, namun Pas menghormati pendirian beliau yang memilih bergerak bebas tanpa menyertai mana-mana parti.
Menurutnya, kehadiran Abdul Khalid adalah satu penghargaan buat Pas seterusnya membuktikan Pas adalah parti yang diyakini oleh beliau untuk meneruskan perjuangan yang terbantut selepas dipecat sebagai menteri besar Selangor.
“Hubungan Pas dan Abdul Khalid cukup akrab dan kita dah kenal sejak beliau menyandang jawatan penting di Selangor. Kami hormati prestasi dan kepimpinannya.
“Cukup jika beliau menunjukkan sokongan melalui kempen dan program penerangan bersama Pas, itu sudah memadai untuk meyakinkan rakyat kerana latar belakang dan rekodnya yang bersih,” katanya.
Roslan Shahir berkata, sikap Abdul Khalid yang terbuka hadir dalam program politik Pas dan Umno juga membuktikan peribadinya yang berpendirian.
“Pas yakin beliau hadir pada program Umno dan Pas tanpa agenda tersembunyi, sebaliknya sebagai meneruskan agenda rakyat Selangor yang diperjuangkan termasuk program air dan ekonomi.
“Penolakannya mungkin disebabkan komitmen, namun keberadaan bersama Pas dianggap sebagai platform terbaik buatnya meneruskan agenda perjuangan rakyat,” katanya.