Kes Indira: Penasihat Amanah kata mahkamah harus utamakan bapa


Ahmad Awang berkata mahkamah harus utamakan bapa kerana anak berbinkan bapa.

(FMT) – Penasihat Amanah Ahmad Awang berkata mahkamah seharusnya mengutamakan bapa dalam kes perebutan hak penjagaan dan penukaran agama anak kerana di Malaysia si anak berbinkan kepada si bapa.

Oleh itu, beliau menggesa Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Majlis Agama Islam dan pihak yang berkenaan untuk mentafsirkan semula maksud “ibu bapa” (parent) dalam akta berkaitan dan menyelesaikan kes M Indira Gandhi dari segi Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memberikan reaksi kepada kenyataan PUM yang dilaporkan berkata perselisihan antara agama boleh berlaku jika polis terus memburu Muhammad Riduan, bekas suami Indira yang melarikan 3 anak mereka dan menukar agama mereka dari Hindu kepada Islam tanpa pengetahuan ibu.

“Oleh kerana kes ini melibatkan Islam maka dalam hal ini kita kena ikut orang Islam. Yang keduanya, kalau kita ambil dari segi sivil pun saya nak cabarlah hakim-hakim sendiri ada ke dalam Malaysia ini orang yang menisbahkan anak kepada ibu?” katanya.

Pada 29 Januari lalu, selepas 9 tahun bertikaian, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai hak untuk mendengar kes penukaran agama sebelah pihak, bahawa penukaran agama anak perlu dipersetujui oleh ibu dan bapa, dan sijil penukaran agama Tevi Darshiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa tidak sah dan terbatal.

Dengan keputusan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan melaksanakan perintah mahkamah dan menjejaki Riduan kerana mengingkari perintah menyerahkan hak penjagaan anak kepada Indira.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata kerajaan akan mengkaji semula pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang sebelum ini dibentang tanpa Fasal 88A, yang menetapkan agama anak kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

PUM dalam kenyataan menggesa Agong memberikan nasihat dalam isu penukaran agama anak, dan meminta polis menghentikan pencarian Riduan sehingga isu itu diselesaikan, kerana “kita tidak boleh membiarkan anak-anak tersebut yang telah Islam untuk dikembalikan kepada agama ibunya”.

Ketika dihubungi FMT, bekas yang dipertua PUM Abdul Ghani Shamsuddin bersetuju dengan kenyataan PUM itu.

“Saya memang bersetuju supaya penyelesaian mesti dibuat dengan cara bijaksana dan kurang memberi kesan kepada banyak pihak dan perkara itu perlu diperhalusi dengan cermat, ia sangat sensitif dan boleh menimbulkan krisis dalam negara kalau tidak diselesaikan dengan baik,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun menggesa semua pihak supaya berhati-hati kerana khuatir isu Indira ini ditonjolkan bagi tujuan politik.

“Saya bimbang ada pihak tertentu sedang menimbulkan isu. Kita perlu berhati-hati supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Ahmad Awang pula berkata keputusan pihak berkenaan perlu mencari formula penyelesaian kepada “percanggahan” antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Kita tidak mahu isu-isu ini menjadi perbalahan kaum. Siapa yang suka nak bergaduh kaum, bergaduh agama lebih-lebih kita mesti faham dalam konteks di Malaysia ini walaupun Hindu minoriti tapi orang Hindu ini pegangan agama dia lebih kuat daripada pegangan orang Islam yang beragama Islam,” katanya.

 



Comments
Loading...