Perlekehan PAS perintah Terengganu Kedah sepenggal dijawab


Herman Samsudeen, Harakah

UNTUK artikel kali ini saya tak nak tulis tentang jasa dan sumbang PAS semasa perintah Terengganu dan Kedah sebab itu sudah banyak ditulis oleh penulis lain. Saya hanya ingin kongsi kisah sejarah tempoh perjawatan pemimpin PAS berbanding pemimpin PH yang kebanyakannya tersungkur lebih awal.

Setiap kali macai PH ingin perlekehkan Presiden PAS mereka akan ungkit kisah kekalahan PAS di Terengganu pada 2004. Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang jadi MB Terengganu dari 2 Disember 1999 hingga 25 Mac 2004. Nampak tak? Beliau berjaya memerintah selama sepenggal sebelum PRU 11. Manakala Tan Sri Dato’ Seri Azizan bin Abdul Razak jadi MB Kedah dari 9 Mac 2008 hingga 6 Mei 2013, pun perintah satu penggal.

Kedua-dua pemimpin PAS ini berjaya harungi sepenggal pemerintahan dengan melakukan banyak perubahan. Dan lebih menarik lagi pemerintahan mereka berjaya menyatukan kepimpinan pelbagai  parti bukan BN untuk bekerjasama dengan PAS tanpa sebarang pengkhianatan dari ahli atau rakan-rakan komponen. Walaupun ada yang cuba khianat tapi berjaya ditangani dan kekal memerintah hingga akhir penggal.

Kita lihat pula rekod perjawatan pemimpin PH. Walaupun ianya rekod semasa mereka di parti lama, tapi itulah fakta sebenar bagaimana mereka tumbang selepas dikhianati oleh rakan sendiri sebelum mereka pula jadi pengkhianat pada parti sendiri.

Mohammad Nizar Jamaluddin jadi MB Perak atas tiket  PAS pada 17 Mac 2008 hingga 12  Mei 2009. Disingkir dari kerusi MB selepas tiga adun PKR dan satu Adun DAP sokong BN. Hanya sempat memerintah 1 tahun 2 bulan sahaja, sekali gus menjadikan beliau MB paling pendek tempoh pemerintahannya di Malaysia. Kini bersama PAN selepas beliau juga khianat kepada PAS.

Seterusnya Mukhriz Mahathir. Beliau jadi MB Kedah dari 6 Mei 2013 hingga 3 Februari 2016 atas tiket Umno mengunakan pengaruh bapanya. Tapi disingkir selepas undi tidak percaya oleh Adun BN yang diketuai Ahmad Bashah. Hanya sempat memerintah 2 tahun 5 bulan sahaja. Kini menjadi Timbalan Presiden PPBM tapi mengaku orang Brunei.

Selain dari itu, PH juga dianggotai oleh pemimpin yang suka berangan-angan tinggi. Namun angan-angan itu musnah dengan tragedi yang diluar jangkaan mereka. Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yasin, dua bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang tersungkur sebelum sempat menjadi Perdana Menteri.

Anwar dipecat Mahathir pada 1998 atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa. Hingga ke hari ini masih berangan-angan nak jadi Perdana Menteri dengan harapan Mahathir letak jawatan lepas dirinya keluar dari penjara.

Namun populariti Anwar merudum kalangan orang Melayu selepas mengkhianati perjuangan otai Reformasi yang sebelumnya mendokong perjuangan PKR untuk singkir Mahathir. Kini PKR duduk berlutut dan mengangkat Mahathir jadi calon Perdana Menteri. Dan cara politik ini sangat memualkan rakyat.

Mahathir masih enggan membersihkan nama Anwar sebagai lelaki peliwat dan gay. Kini Anwar menunggu hari pembebasannya dari penjara dan masih menyambung angan-angan untuk jadi Perdana Menteri pada 2019.

Muhyiddin pula disingkir dari Umno pada 2016 selepas beliau menyerang Najib secara terbuka dalam isu 1MDB. Beliau yang terkenal dengan gambar mengangkat sepanduk “I Love PM” di hadapan Najib, tak sempat nak jadi Perdana Menteri juga. Cuma nasib beliau baik sikit dari Anwar kerana Najib tak fitnah beliau meliwat.

Kini Muhyiddin menjadi Presiden PPBM, tapi semua orang tahu yang beliau hanya jadi Presiden boneka dan bila-bila masa sahaja ditendang Mahathir yang bercita-cita meletakkan Mukhriz di jawatan itu. Muhyiddin tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk survive dalam politik rencam PPBM. Beliau terpaksa akur dengan pengaruh Mahathir yang lebih kuat dan perlu berhati-hati jika tidak mahu ditendang Mahathir keluar sebagaimana pengasas PPBM yang lain.

Mahathir adalah diktator PPBM, sesiapa sahaja yang tidak puashati dengan beliau akan diserang dan ditendang keluar dengan penuh penghinaan. Maka jadilah Muhyiddin “Mr Yes Man” walaupun hatinya kecewa sebab tidak dipilih jadi calon Perdana Menteri PH.

Seterusnya terdapat dua nama lagi yang juga gagal mengapai angan-angan mereka selepas pemimpin PAS mengetahui sikap sebenar mereka. Husam Musa dan Wan Azizah Wan Ismail, dua nama yang kekal tercatat dalam sejarah sebagai bekas bakal MB yang tiada pencen.

Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz sempat mencium sikap sebenar Husam yang kuat melobi untuk menjadi Menteri Besar Kelantan. Akhirnya Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dipilih menjadi MB Kelantan. Maka kempunanlah Husam hingga kini. Penat melobi dengan pelbagai idea dan projek yang terbengkalai, namun Nik Aziz malas nak layan beliau. Hanya beliau yang terhegeh-hegeh menumpang nama dan legasi Nik Aziz walaupun sudah dipecat dari PAS dan sertai PAN.

Wan Azizah yang mulanya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh atas alasan ingin menjaga cucu membuat kejutan bertanding di DUN Kajang selepas itu. Namun, percubaannya selepas itu untuk menjadi Menteri Besar wanita pertama Selangor gagal selepas PAS mencalonkan Azmin.

Inilah antara 6 individu dalam PH yang gagal menamatkan penggal pemerintahan selepas dikhianati dan gagal dalam angan-angan mereka meraih tampuk kuasa. Mereka juga sanggup mengkhianati rakan-rakan seperjuangan demi mencapai impian untuk berkuasa.

PAS walaupun hanya perintah Terengganu dan Kedah satu penggal sebelum ini, tapi berjaya mentadbir hingga akhir penggal dengan baik. Malah lebih penting lagi PAS tidak khianat dan tidak dikhianati oleh siapa-siapa semasa memerintah. Legasi PAS sepanjang tempoh pemerintahan tercatat dalam sejarah dan insya-Allah PAS masih berpeluang memerintah sekali lagi dalam PRU-14.



Comments
Loading...