Pas Sokong Khalid Ibrahim Jadi MB


(Sinar Harian) – “Pas Selangor sedia beri laluan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim bertanding tanpa syarat, namun itu terpulang kepada dia kalau bersedia, kalau dia tak bersedia dengan tawaran itu pun tak mengapa.”

Demikian antara komen Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berhubung tawaran Pas yang bersedia memberi laluan kepada bekas menteri besar Selangor bertanding di mana-mana kerusi tanpa sebarang syarat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, antara faktor yang menjurus kepada kesedian Pas Selangor itu adalah hubungan baik antara Pas dan Khalid sebelum ini termasuk sokongan Pas dalam melantik beliau sebagai menteri besar Selangor.

“Kita beri tawaran itu pertama sekali kerana kita ada sejarah antara dia dan Pas sebelum ini, malah cara urus tadbir yang dia tunjukkan sepanjang jadi menteri besar sangat baik. Saya rasa rakyat Selangor sendiri pun ada satu keserasian dengan cara dia mengurus yang telus berintegriti.

“Sebelum ini pun, Pas antara yang mencadangkan Khalid sebagai menteri besar sebelum timbul pelbagai isu yang yang melanda dirinya, itu pun telah dibuktikan tidak bersalah di mahkamah. Sebab itu saya fikir Tan Sri Khalid ini sangat dekat di hati rakyat Selangor.

“Pas sebenarnya bukan tamak dalam konteks mahukan jawatan dan sebagainya, kita beri ruang kepada siapa saja yang punya keupayaan. Siapa yang ada kekuatan urus tadbir dan dengan sokongan rakyat, Pas sedia beri ruang untuk berada pada posisi yang sepatutnya dan bersama-sama Pas untuk mengurus tadbir negeri Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mengulas kesediaan Pas mencalonkan Khalid sebagai menteri besar jika menawan Selangor, Sallehen menjelaskan perkara itu terserah kepada cadangan pimpinan Pas pusat.

Namun, menurutnya, secara prinsipnya Pas Selangor tiada masalah untuk menyokong Khalid sebagai menteri besar biarpun Khalid tidak bertanding atas tiket Pas.

“Soal calon menteri besar bagi kita bukannya diputuskan di peringkat negeri sebaliknya diputuskan oleh Presiden Pas. Pas Selangor tiada masalah dengan Khalid dan bersedia untuk menerima siapa pun calon menteri besar yang dicadangkan oleh pusat.

“Itu yang boleh saya katakan kerana bukan cara Pas untuk menamakan calon menteri besar terlebih dahulu, cuma secara dasarnya kita tak ada masalah untuk bekerjasama dengan Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya.

 



Comments
Loading...