PERMUSUHAN PKR DAN AMANAH SELANGOR SUDAH LAMA, MEREKA AMAT SUKAR DIDAMAIKAN


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Pertelagahan terbuka antara PKR dan AMANAH di Selangor mengenai agihan kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 memang sudah diduga berdasarkan ketegangan yang telah wujud antara kedua-dua buah parti ini lama sebelum ini.

Tempelakan Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim, ke atas kelayakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor juga tidak mengejutkan kerana pemimpin PAN lain pun pernah mempertikaikan perkara ini.

Begitu juga dengan kritikan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi, ke atas Azmin yang didakwa berbohong dengan menyatakan Pakatan Harapan Selangor sudah bermesyuarat membincangkan agihan kerusi yang menampakkan kemarahan AMANAH ke atas beliau.

Tuntutan Abbas supaya Azmin menarik semula tuduhan AMANAH parti pembohong dan tidak amanah juga mudah difahami kerana ia melibatkan maruah dan integriti AMANAH sebagai sebuah parti yang memperjuangkan konsep Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Ketidakpuasan hati AMANAH ke atas Azmin sudah berlaku sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Sungai Besar pada Jun 2016 lagi bila cadangan Azmin supaya Pakatan Harapan mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS di situ telah memarahkan AMANAH.

Azmin dan pemimpin PKR Selangor dilihat tidak percaya dengan kemampuan AMANAH untuk menarik sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini mengundi PAS kepada Pakatan Harapan dan ini terbukti dengan kegagalan AMANAH berbuat demikian di Sungai Besar.

Selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan bahawa AMANAH hanya mempunyai 1 peratus sokongan digembar-gemburkan, dan ini diteruskan oleh kenyataan Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, beberapa hari lalu.

Begitu juga kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor merangkap Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimi Shafiei, pada Disember 2016 supaya AMANAH tidak meletakkan calon di negeri Selangor yang ditempelak oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Pertelingkahan ini berterusan dengan tekanan AMANAH kepada Azmin supaya merombak pentadbiran negeri dengan menggantikan Ahli EXCO dan penjawat kerajaan negeri lain yang disandang oleh pemimpin PAS dengan pemimpin AMANAH yang tidak beliau hiraukan.

Paling memeritkan adalah bila Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Saari Sungib, diselar oleh Azmin dengan tweet berbunyi “@SaariSungib nak jadi pengemis untuk jawatan Exco ke” bila Saari mengkritik tindakan Azmin mengekalkan PAS dalam pentadbiran negeri.

Kesemua ini menunjukkan Azmin dan pemimpin PKR Selangor tidak akan memberikan laluan mudah kepada AMANAH di Selangor malah mereka masih berusaha bekerjasama dengan PAS bagi memastikan kemenangan beliau dan calon-calon PKR lain di negeri itu.

Keadaan ini menyebabkan AMANAH yang sangat tersepit menyerang Azmin, dan dengan sokongan DAP kepada AMANAH, sukar untuk dibayangkan Azmin akan mampu bertahan sebagai Menteri Besar Selangor jika Pakatan Harapan masih mampu memenangi negeri itu.

Selain sokongan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, kepada Izham, sikap anti Azmin tergambar di dalam kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, bahawa Azmin tidak layak memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Tidak dinafikan ada usaha akan dibuat untuk cuba menyelesaikan pertelagahan antara PKR dan AMANAH di Selangor ini tetapi adalah diyakini bahawa mereka amat sukar didamaikan kerana luka bahana kata-kata sangat pedih yang dilontarkan adalah sangat mendalam.

 



Comments
Loading...