Husam dan Wan Rahim serah kembali gelaran Dato’ selepas diarah


(Malaysia Dateline) – Dua pemimpin AMANAH Kelantan, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah menyerahkan kembali darjah kebesaran yang membawa gelaran “Dato’” kepada mereka oleh Sultan Kelantan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Istana Kelantan.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) juga didakwa diarahkan berbuat demikian tetapi ia belum dapat disahkan lagi.

Menurut kenyataan bersama Husam dan Wan Rahim, mereka telah menerima surat dari Setiausaha Kerajaan Kelantan petang semalam memaklumkan Sultan Muhammad V bersetuju menarik balik Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) dari mereka.

“Kami telah menerima surat daripada YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada petang semalam, 20 Jamadil Awal 1439H bersamaan 06 Februari 2018 memaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bersetuju menarik balik Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D. J. M. K.) (Al-Ismaili II) yang telah dianugerahkan kepada kami sebelum ini, mulai pada 06 Februari 2018.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran dan surat perlantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana D’Raja pada hari ini, 07 Februari 2018 di Istana Balai Besar.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V,” kata kenyataan mereka berdua hari ini.

Wan Rahim menunjukkan surat yang diterimanya dari Setiausaha Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pagi ini mengadakan sidang media di pejabat AMANAH Kota Bharu selepas menyerahkan semula semua pingat yang diterima beliau.

“Saya telah mewakilkan kepada Setiausaha AMANAH Kelantan, Saudara Rushdan Mustafa untuk uruskan dan Alhamdulillah telah selesai,” katanya.

Ditanya wartawan sebab penarikan itu, beliau berkata sebagai hamba rakyat Tuanku Sultan semua keputusan diterima dengan hati terbuka.

“Jelas dalam perlembagaan negeri bahawa kurniaan Tuanku adalah hak budibicara baginda sepenuhnya tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamaruzaman Yusof berkata, sejak tahun 2009, Istana Kelantan telah beberapa kali menarik balik darjah kebesaran membawa gelaran Kerabat dan Datuk yang dikurniakan kepada beberapa individu tertentu.

Kali ini, katanya, selain Husam dan Wan Rahim, turut ditarik balik adalah gelaran yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan.

“Terbaru, saya dimaklumkan oleh satu sumber berwibawa bahawa Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Bendahari Pakatan Harapan merangkap Naib Presiden AMANAH, Husam Musa, dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Rahim Abdullah, juga telah ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Istana Kelantan,” tulis beliau dalam faceboknya.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, tidak ada sebarang pengesahan dari Tun Dr Mahathir tentang penarikan ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh Hamzah, Ibrahim Alim dan beberapa yang lain pernah ditarik gelarannya oleh istana Kelantan, kata Kamaruzaman.

“Penarikan balik darjah kebesaran ini adalah dibuat dengan berasaskan kepada Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:

“Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu,” tulis beliau.

Katannya, penarikan balik darjah kebesaran membawa gelaran kerabat ini adalah membabitkan:

(1) Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) daripada Tengku Muhammad Fakhry Petra pada 30 September 2010.

(2) Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) daripada Tengku Razaleigh Hamzah pada 2 Disember 2010.

Penarikan balik darjah kebesaran membawa gelaran Datuk pula adalah membabitkan:

(1) Darjah Kebesaran DJMK daripada Ahmad Rusli Iberahim pada 29 September 2009.

(2) Darjah Kebesaran DJMK daripada Wan Hassan Wan Zin pada 4 Mac 2010.

(3) Darjah Kebesaran DJMK daripada Mohd Raihan Dato’ Seri Eusuff Teh pada 4 Mac 2010.

(4) Darjah Kebesaran DPMK dan DJMK daripada Tan Huat @ Tan Liang Chong pada 15 Mac 2010.

(5) Darjah Kebesaran SPSK dan DPSK daripada Shkori Mohamed pada 9 Mei 2010.

(6) Darjah Kebesaran DPSK daripada Ismail Ghani pada 9 Mei 2010.

(7) Darjah Kebesaran DJMK daripada Ibrahim Abdul Kadir pada 9 Mei 2010.

(8) Darjah Kebesaran DJMK daripada Ibrahim Abdul Kadir pada 9 Mei 2010.

(9) Darjah Kebesaran SPMK daripada Tengku Muhammad Fakhry Petra pada 30 September 2010.

(10) Darjah Kebesaran DJMK daripada Ibrahim Ali pada 13 Oktober 2010.

(11) Darjah Kebesaran SPSK daripada Wan Hashim Wan Daud pada 13 Oktober 2010.

(12) Darjah Kebesaran SPMK daripada Tengku Razaleigh Hamzah pada 2 Disember 2010.

(13) Darjah Kebesaran DJMK daripada Dr Yaacob Hussain Merican pada 2 Disember 2010.



Comments
Loading...