Rakyat nak tahu ke mana duit GST
(Sinar Harian) – Rakyat negara ini ingin melihat ke mana wang hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dibelanjakan sama ada ia nyata atau sebaliknya.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, rakyat dapat menerima pelaksanaan cukai tersebut jika mereka mengetahui kesan langsung kepada rakyat.
“Jika kita bayar cukai, semestinya ingin melihat ia dibelanjakan untuk sesuatu yang perlu. Sebagai contoh pembayaran minimum dikenakan ketika mendapatkan perkhidmatan di hospital.
“Rakyat ingin lihat bagaimana kerajaan membelanjakan wang jika kerajaan mahu mengumpul RM40 bilion daripada kutipan GST setiap tahun,” katanya semalam.
Menurut Ahmed Razman, lebih 100 negara telah mengamalkan GST dan kira-kira 11 negara sahaja yang belum melaksanakannya.
“Cukai terpaksa dikenakan kerana kerajaan tidak mampu mencari sumber pendapatan lain bagi menampung beban hutang,” katanya.
“Saya lebih suka jika kita fokus kepada cara untuk selesaikan hutang negara, kadar GST akan dikurangkan di Malaysia bukan sebagaimana negara luar yang meningkat kadar GST bagi menyelesaikan soal hutang, “ katanya.