ADUN Umno mahu MCA dihukum kerana bela Kuok


(Malaysiakini) – ADUN Umno Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat kurang senang dengan tindakan MCA yang membela jutawan Robert Kuok.

Setelah meneliti tindakan MCA, wakil rakyat Kempas dari Johor itu mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lagi begitu murah hati dengan MCA selepas pilihan raya umum akan datang.

“Saya harap perdana menteri yang baik mengambil maklum perkara ini dan memastikan bahawa tiada lagi jawatan kabinet dibazirkan untuk MCA sekiranya mereka gagal mengekalkan kerusi masing-masing, yang sebenarnya dimenangi melalui sokongan pengundi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tengku Putra Haron berkata beliau percaya bahawa tuduhan terhadap Kuok itu tidak akan dibuat tanpa bukti konkrit, dan jutawan itu boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah jika ia tidak benar.

Kuok didakwa menaja parti DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight dalam usaha untuk menumbangkankan Umno. Tengku Putra Haron juga berkata ada antara kandungan memoir ahli perniagaan berusia 94 tahun itu, baru-baru ini yang tidak memberi gambaran yang betul mengenai ahli-ahli politik Umno.

Menurut Tengku Putra Haron, kisah sebenar Kuok memberi gambaran baru siapa sebenarnya sekutu Umno.

“Nasib baik perkara ini muncul di ambang pilihan raya umum. Kita akhirnya dapat melihat siapa itu serigala berbulu biri-biri di kalangan parti-parti komponen BN.

“Tidak ada sesiapa yang tidak boleh disentuh di Malaysia, dan jika MCA membuat kekecohan terhadap serangan ke atas Kuok bukan kerana ini menyakitkan hati rakyat Malaysia tetapi hanya kerana dia seorang jutawan Cina, maka kita sedang menyaksikan telatah rasis parti ini,” katanya.

 



Comments
Loading...