Kapal Jho Low Tiada Kaitan Dengan 1MDB
(Beruang Biru) – Lama betul penyokong pembangkang duduk dalam gua. Semalam bila minyak naik 4 sen dan ada kes kapal Jho Low ditahan di Bali, keluarlah balik mereka ramai ramai dari gua.
Kes makanan kuda Mahathir yang sampai RM50,000 sebulan gagal dijawab mereka. Terpaksalah buka balik cerita lama menjelang pilihanraya umum ke-14 ini.
Pembangkang putar cerita dakwa kapal yang ditahan di Indonesia ada hubung kait dengan 1MDB. Sudah dijelaskan beberapa kali sebelum ini bahawa Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB.
Kalau Jho Low beli kapal pun ianya bukan dengan duit 1MDB. Kalau Jho Low pakai duit beli kapal, itu antara Jho Low dengan Aabar dan IPIC, bukannya dengan 1MDB.
Dua tahun lepas, Biro Siasatan Persekutuan India (CBI) memohon waran tangkap terhadap kroni Mahathir iaitu Ananda Krishnan kerana didakwa terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram hampir setengah billion ringgit melibatkan bekas Menteri Telekom India, Dayanidhi Maran dan adiknya, Kalanithi Maran.
CBI mendakwa kerajaan India kerugian USD4.6 bilion (RM18.64 bilion). Penguatkuasa India pada 25 Mei 2016 mengeluarkan saman di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram bagi menyiasat Ananda.
Dalam kes Ananda ini, apakah boleh dikatakan ianya juga melibatkan Mahathir? Penyokong bunga tentu akan kata tidak, kerana itu adalah hal antara Ananda dengan Menteri Telekom India bukannya dengan Mahathir.
Samalah juga dengan Jho Low, kapal, lukisan dan kapal terbang yang ditahan tidak dibeli dengan duit 1MDB. Kebanyakan aset ini dibeli selepas 1MDB membayar Aabar dengan sejumlah wang kepada Pengerusi Aabar Abu Dhabi, Khadeem Al Qubasi dan CEO Aabar, Mohd Husseiny.
Di UAE, tiada satu pun pendakwaan jenayah dibuat terhadap dua orang ini. Kalau mereka bersalah sudah tentu ada pendakwaan terhadap dua orang ini. Tuduhan bahawa Jho Low beli aset guna duit 1MDB itu dibuat oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal sahaja tanpa bukti yang kukuh.
Kena semak dengan DOJ benarkah kapal Jho Low itu adalah dari duit IPIC. DOJ pun belum keluar kenyataan rasmi lagi tetapi Malaysiakini dan Sinar Harian dah melebih lebih ulas isu ini.
Cerita kapal Jho Low ditahan di Bali ini seakan ulang cerita sama pada Oktober tahun lepas bila kapal Equnimity itu berlabuh di Pulau Weh, utara Acheh.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri menyatakan pada waktu itu bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak dimaklumkan apa apa mengenai penahanan itu. Kali ini pun sama, yang terlebih tahu adalah Malaysiakini.
Selepas itu, pada 23 Oktober 2017, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyatakan kes perkaitan Jho Low sudah pun ditutup setelah membuat kajian dan siasatan mendalam dengan pihak Interpol.
“Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas untuk syarikat,” kata Arul Kanda pada 26 Mac 2016.
Dato Seri Haji Ahmad Husni Hanadziah, bekas Menteri Kewangan II dalam temubual dengan RTM1 pada Jun 2015 berkata, Jho Low atau nama sebenar Low Taek Jhow tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB.
“Jadi tidak timbul soal dana hilang dan dibayar kepada Jho Low’ tegas Ahmad Husni. Secara jelas, nama Jho Low tidak timbul dalam mana-mana aliran tunai.
Arul Kanda sudah sahkan, Husni sudah sahkan, jawapan di parlimen sudah diberikan. Malah PAC juga sudah jelaskan bahawa Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB. Wakil pembangkang pun ada dalam PAC.
“Laporan PAC telah membuktikan secara muktamad bahawa kesemua wang dan dana telah dikira dan kesemua transaksi telah disahkan. Tiada wang dan dana yang telah dilaporkan hilang.
“Terbukti, tiada elemen jenayah atau penyalahgunaan dana sebagaimana yang dituduh selama ini,” kata Anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah pada 10 April 2016.
Duit 1MDB tidak hilang dan tidak dicuri. Yang menuduh kata 1MDB dulu ada hutang sampai RM42 billion pun sudah diam. Yang tuduh kata projek TRX gagal pun sudah diam bila nampak bangunan itu lebih tinggi dari KLCC.
Kapal, lukisan dan kapal terbang Jho Low tidak dibeli dengan duit 1MDB. Itu hal Jho Low dengan Aabar dan IPIC. Samalah juga hal Ananda di India, duit Mahathir kah yang dicuci sampai RM18.64 bilion di India itu? Itu hal Ananda lah dengan Menteri Telekom India, Mahathir mana terlibat, kata penyokong bunga.
Jadi dalam kes Jho Low, kenapa hendak kait 1MDB?