Guan Eng : Nazir Boleh Jadi PM Yang Baik


Robert Kuok dan Nazir Razak

(Malaysian Access) – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membidas Umno kerana tidak berterima kasih kepada individu terkaya Malaysia, Tan Sri Robert Kuok atas sumbangannya.

Merujuk kepada memoir Kuok, Lim menceritakan bagaimana ahli perniagaan itu mendedahkan beliau sering diminta memberikan sumbangan besar kepada parti pemerintah, Umno dan MCA, selepas negara merdeka pada tahun 1957.

Jutawan itu, katanya, memberikan sumbangan “sukarela, gembira dan secara bebas”.

Bagaimanapun, Lim berkata sebagai balasan atas sumbangannya, Kuok tidak menerima penghargaan daripada Umno melainkan dengan menunjukkan kebencian terhadapnya.

“Rakyat Malaysia, terutama masyarakat Cina, marah dan tidak akan mudah lupa bagaimana Umno mengeksploitasi berita palsu dan menyerang peribadi untuk melucutkan kewarganegaraan, membuli usahawan Cina yang berjaya dan tokoh ikonik di Malaysia itu.

“Untuk terus berkuasa, BN sanggup bermain api perkauman dan memusnahkan negara.

“Bagaimanapun, DAP percaya rakyat Malaysia tidak akan membenarkan BN memusnahkan negara dan akan menggantikan kuasa yang korup dan memecahbelah ini dengan sebuah gabungan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berprinsip.

“Biarlah Pakatan Rakyat (HARAPAN) menyatukan rakyat Malaysia untuk menangani isu sebenar dan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat Malaysia yang biasa makan nasi dan bukan quinoa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Lim memuji adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak berhubung apa yang berlaku di sebalik isu membabitkan Kuok.

Beliau berkata Nazir memilih untuk menggambarkan Kuok sebagai seorang patriot, ikon perniagaan dan lelaki kelas pertama, dan bukannya menyertai serangan pemimpin Umno ke atas jutawan berusia 94 tahun itu.

“… ini menunjukkan bahawa Nazir akan menjadi perdana menteri lebih baik daripada abangnya,” kata Lim dalam satu kenyataan media petang ini.

Sebaliknya, Lim menuduh Najib membenarkan pemimpin tertinggi Umno, seperti Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, untuk melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Kuok.

Seperti yang dijangkakan, setiausaha agung DAP itu juga membidas MCA, dengan mendakwa bahawa pemimpinnya gagal menghentikan Umno daripada membuli seperti itu.

Merujuk kepada memoir Kuok, Lim juga mengkritik Umno kerana tidak bersyukur selepas menerima sumbangan kewangan daripada tokoh perniagaan itu, yang kini menetap di Hong Kong.

“Sebaliknya, mereka membuat tuduhan palsu kononnya DAP menerima sumbangan daripada Kuok sedangkan DAP tidak dapat apa-apa,” katanya.

 



Comments
Loading...