Suka Buat Onar, Ketua UMNO Wilayah Cadang Lucut Kerakyatan Blogger Raja Petra


(Malaysian Digest) – Rakyat Malaysia diseru untuk tidak membiarkan diri terpengaruh dengan individu seperti blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin yang telah mencetuskan isu perkauman baru-baru ini.

Ketua UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, berkata Raja Petra gemarkan perhatian dan akan membuat pelbagai dakwaan termasuk menuduh orang paling kaya Malaysia menderma sejumlah wang kepada kempen DAP.

“Raja Petra adalah individu kecewa yang sanggup suka bertukar arah bila-bila masa disukainya.

“Beliau merupakan penyokong kuat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menentangnya selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sebelum insiden malang itu, beliau memuji UMNO sehinggalah beliau berpaling tadah, sudah tentulah.

“Dan beliau terus menghemburkan racun kepada pentadbiran negara selepas menetap di UK.

“Pada Mei 2010 saya mencadangkan agar kerajaan melucutkan kewarganegaraan Raja Petra berikutan tindakannya boleh menjejaskan keharmonian negara,” ujar Syed Ali dipetik blognya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cetusan isu perkauman dimainkan Raja Petra dalam ulasan terhadap buku Kuok “Robert Kuok: A Memoir With Andre Tanzer’ dengan mendakwa ‘Raja Gula’ itu mahu menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah.

Tambahnya, nasib baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tangkas menepis dakwaan kebudak-budakan Raja Petra terhadap Kuok.

“Kita mempunyai hubungan sihat dengan pelbagai komuniti di Malaysia, termasuk masyarakat Cina.

“Komuniti Cina Malaysia telah banyak menyumbang kepada sosioekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pada itu turut menggesa segala polemik terhadap Kuok dihentikan sepertimana gesaan oleh Najib.

“Perdana Menteri juga sudah memberi penjelasan tentang isu berkenaan dalam kenyataannya dan pihak kerajaan menerima baik penjelasan itu.

“Beliau sendiri meminta agar isu ini tidak lagi dipolemikkan dan berlandaskan alasan itu, kita terima dengan cukup berlapang dada,” katanya.

Ujar Zahid, Kuok juga sudah membuat penjelasan bahawa beliau menghargai setiap peluang diberikan kepadanya, selain mengiktiraf sumbangan oleh semua rakyat Malaysia kepada pembangunan negara.

 



Comments
Loading...