Tipu Sampai Orang Percaya – Bekas Editor Suara Keadilan Dedah Strategi Ala Nazi Pembangkang


(Suara TV) – Pembangkang tidak menghiraukan fakta atau kebenaran dalam melontarkan isu asalkan isu yang ditimbulkan boleh mencetuskan persepsi buruk terhadap kerajaan pemerintah, dedah Bekas Editor Suara Keadilan, Datuk Seri Dzulkarnain Taib.

Ujarnya, prinsip sama digunakan Ketua Propaganda Nazi, Joseph Goebbels iaitu penipuan secara berterusan akhirnya akan dianggap sebagai satu kebenaran.

“Sebagai contoh, ketika saya menjadi Ketua Pengarang Suara Keadilan, parti PKR mahu akhbar Suara Keadilan untuk menyiarkan tajuk utama ‘Felda Bankrap’.

“Tapi ketika itu saya tidak bersetuju dengan arahan parti kerana artikel tersebut tidak ada bukti dan fakta yang kukuh untuk membenarkan perkara tersebut,” katanya dipetik UMNO Online.

Suara Keadilan merupakan lidah rasmi PKR sejak awal penubuhannya dan kata Dzulkarnain, parti tetap berkeras mahukan isu Felda muflis sebagai tajuk muka hadapan.

“Dan sebaik sahaja keluar berita tersebut, saya serta merta dihubungi oleh KDN untuk hadir memberikan penjelasan berhubung isu tersebut. Dalam sehari dua, kami menerima pula surat saman fitnah daripada Felda berhubung artikel itu,” ujarnya

Tuduhan Felda Bankrap dinyatakan tidak lain adalah Presiden PKR sendiri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2010, ditulis oleh wartawan Suara Keadilan, Rusnizam Mahat.

Penulisan Rusnizam turut memetik kenyataan Senator Dr. Syed Husin Ali.

Wan Azizah, Dr Syed Husin dan Rusnizam kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan selepas 7 tahun naik turut, ketiga-tiga mereka diperintahkan membayar RM2 juta kepada Felda diatas kenyataan fitnah tersebut.

“Ini merupakan salah satu contoh bagaimana dasar parti yang mengamalkan konsep penipuan yang diulang-ulang itu bagi mewujudkan persepsi negatif rakyat, mengelirukan rakyat sehinggakan penipuan itu terlihat sebagai satu kebenaran.

“Dan perkara inilah yang berterusan dilakukan oleh pembangkang hari ini dengan menipu dan memanipulasikan cerita dan berita untuk mengelirukan rakyat. Dan saya jangka ianya akan menjadi lebih hebat menjelang PRU 14 tidak lama lagi,” kata Dzulkarnain menjelaskan strategi ala Nazi pembangkang menyebarkan penipuan.

Katanya, setiap pembohongan pakatan ‘ditelan’ penyokongnya taksubnya bulat-bulat tanpa berfikir panjang berikutan pemikiran mereka sudah didoktirnkan sebegitu rupa.

“Kebanyakkan penyokong pembangkang memiliki sikap taksub kepada pembangkang kerana pemikiran mereka telah didoktrin sekian lama untuk menerima dan membenarkan apa saja makkumat yang datangnya dari pihak pembangkang.

“Sebab itu pembangkang tidak takut dan tidak teragak-agak untuk melontarkan cerita-cerita bohong tentang kerajaan kepada rakyat, kerana mereka yakin penyokong mereka akan membela dan membenarkan cerita bohong itu sehingga tampak ia seolah-olah satu kebenaran,” jelasnya lagi.

 



Comments
Loading...