Tun M: PPBM ada pelan lain jika dibubarkan RoS
(Bernama) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa mempunyai pelan alternatif jika parti itu dibubarkan.
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelan itu akan dilaksanakan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengambil keputusan membubarkan PPBM.
“Kita ada pelan B dan C, dan kita akan perkenalkan cara ini apabila kita sudah diberitahu (dimaklumkan oleh RoS jika PPBM dibubarkan) … kita kena guna cara lain,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Harapan Kelantan di sini, hari ini.
Semalam, RoS mengeluarkan notis kepada PPBM yang antara lain memerlukan parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, atau berdepan risiko dibubarkan.
Ia bagi melengkapkan siasatan susulan aduan yang dikemukakan oleh anggota-anggota PPBM kepada pihak RoS.