DAP perlu berhati-hati dengan PKR
(Astro Awani) – Rizal juga menasihatkan DAP agar mengenang kembali apa yang telah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016.
Pembantu khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menasihatkan DAP agar berhati-hati dengan PKR pada PRU14 nanti.
Nasihat itu diberikan ekoran timbul khabar angin bahawa parti-parti gabungan Pakatan Harapan (Harapan) akan menggunakan logo PKR dalam PRU14.
Rizal juga menasihatkan DAP agar mengenang kembali apa yang telah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016.
“Bukan sahaja terpaksa bergelut, bercakaran dalam perebutan kerusi dengan PKR, DAP juga menelan kepahitan apabila kalah akibat onar yang dilakukan oleh PKR apabila bertembung di enam kerusi.
“Kalau bersetuju pakai logo PKR pada PRU14, apakah ada jaminan PKR tidak akan ‘tikam belakang’ DAP seperti yang dilakukan pada pilihan raya negeri Sarawak itu.
“Dengan rundingan agihan kerusi antara pembangkang di Selangor yang tak kesudahan itu akibat keegoan Datuk Seri Azmin Ali, saya mahu nasihatkan DAP agar berhati-hati dengan PKR ini terutama dalam soal surat watikah pencalonan,” katanya yang dipetik Astro Awani.
Mengulas lanjut mengenai khabar angin parti komponen Harapan akan menggunakan logo PKR, Rizal berkata tiada sebab DAP perlu melupakan logo partinya kerana ia sudah diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Bersatu kena bersetuju pakai logo PKR sebab parti itu tak diiktiraf sebagai parti politik yang sah di mata ROS manakala logo Amanah pula takut-takut tak siapa pun yang kenal,” katanya.
Sehingga kini Majlis Presiden Harapan masih belum memutuskan logo tunggal yang bakal digunakan semua calonnya pada PRU14.