TUDUHAN RAFIZI TERHADAP TABUNG HAJI SALAH SATU BERITA PALSU
DARI SUDUT LAIN
Isu kelulusan RUU Antiberita Tidak Benar di parlimen beberapa hari lepas menjadi isu hangat yang diperkatakan oleh media dan juga pemerhati politik. Sebagai pembangkang, PH menjalankan tugas mereka dengan ‘cemerlang’ apabila membangkang apa sahaja yang dicadangkan oleh pihak kerajaan termasuk RUU ini. Berbagai alasan mereka kemukakan, seolah-olah penyebaran berita palsu adalah satu perkara yang normal dan tidak patut dibendung.
Suka untuk dinyatakan bahawa kemungkinan sebab sebenar mereka menentang RUU ini adalah kerana mereka sendiri banyak menggunakan kaedah penyebaran berita palsu dalam permainan politik. Tanpa menafikan pihak pemerintah juga pernah menggunakan kaedah serupa, tetapi mereka lebih selamat kerana berada di posisi penguasa.
Isu yang boleh dijadikan contoh berita palsu adalah berkenaan berita bahawa Tabung Haji (TH) mengalami masalah kewangan serius untuk membayar balik dana kepada pendeposit. Isu ini dibawa oleh YB Rafizi Ramli. Menurut beliau, TH akan menghadapi masalah dalam membayar kepada kesemua pendeposit apabila mereka mengeluarkan simpanan secara serentak.
Akibat terkeliru dengan berita tersebut, seramai 3,954 pendeposit TH telah mengeluarkan simpanan mereka dan 3,105 daripadanya terlepas giliran peluang menunaikan haji. Tentu sekali keadaan tersebut akan menyebabkan ketidakstabilan TH. Ironinya, Rafizi sendiri ketika itu tidak mengeluarkan simpanan beliau yang berjumlah kira-kira RM500,000. Apabila dipersoalkan, beliau berlepas diri dengan mengatakan tiada siapa yang menyuruh pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.
Susulan kenyataan kontroversi itu, pihak TH telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi. 7 Februari lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dibicarakan atas tuduhan memfitnah Tabung Haji (TH) di laman Facebooknya 2 tahun lalu. Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas naib presiden PKR itu disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) berkenaan kes National Feedlot corporation (NFC).
Isu ini hanyalah salah satu contoh mengapa perlunya undang-undang mengekang berita tidak benar daripada terus berleluasa. Banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Jika diizinkan, perkara ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa.