‘Saman sekarang’, Mahfuz cabar PAS


(Berita Daily) – Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mencabar PAS supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya ekoran dakwaan beliau bahawa ada pimpinan PAS menerima sejumlah wang daripada Umno bagi pihak PAS.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat dilaporkan berkata pihak PAS Terengganu bersedia mengambil tindakan undang-undang hanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada Satiful dan PAS amnya, sekiranya tiada tindakan segera.

“Pelik dan kelakar. Kenapa perlu tunggu selepas PRU14? Satiful sewajarnya mengambil tindakan segera kerana selagi tiada sebarang tindakan undang-undang diambil, isu tersebut akan menjadi bahan perbualan masyarakat khususnya pengundi-pengundi PAS.”

“Adakah Satiful sanggup membiarkan imej partinya dilihat buruk dengan menerima dana dari Umno? Adakah Satiful sanggup PAS tewas dalam PRU14 nanti dek kerana isu penerimaan dana dari Umno ini? Adakah Satiful sanggup membiarkan Umno tersenyum gembira apabila PAS kalah dalam PRU14 nanti?” soal Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mahfuz menggesa Satiful supaya segera mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendedahkan isu ini.

“Satiful dan PAS tidak perlu menunggu selepas PRU14 baru nak failkan tindakan. Yang akan memfailkan kertas-kertas kausa di mahkamah adalah peguam bukannya Ust Satiful. Kalau sudah berbincang dengan peguam, arahkan peguam failkan tindakan. Adakah Satiful mencari hari yang sesuai untuk failkan tindakan? Selasa penuh, Rabu sudah diambil oleh Najib. Mungkin Khamis boleh failkan,” sindir Mahfuz lagi.

Katanya, tindakan PAS menafikan menerima dana Umno tidak mencukupi.

“Ini maruah PAS. Tidak cukup sekadar menafikan sahaja. Orang gila juga nafikan dia gila. Tetapi untuk menentukan dia gila atau tidak, perlu diperiksa oleh doktor pakar. PAS juga perlu membuktikan mereka tidak terima dana Umno seperti didakw,” tegas beliau sambil menambah bahawa dengan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah, semua bukti termasuk akaun bank yang didakwa boleh dibuktikan kewujudannya di mahkamah.

“Justeru, Satiful atau PAS sewajarnya mengambil tindakan undang-undang seberapa segera yang boleh jika mahu imej PAS dilihat bersih di kalangan pengundi lebih-lebih lagi di kalangan ahli PAS sendiri yang sekarang sudah berbunyi di sana sini bahawa PAS dan pimpinannya mendapat duit dari Umno.

“Jangan tunggu lama-lama nanti habis duit tak sempat nak fail,” ujar Mahfuz.

 



Comments
Loading...