‘Anwarisme’ punca perpecahan pakatan pembangkang?
Mohamad Sabu yang sekarang ini presiden Amanah pernah mentakrifkan Anwar sebagai politikus yang ganas, malah lebih ganas daripada Dr Mahathir.
Mohd Firdaus Hamzah, Free Malaysia Today
Menjadi resam, yang jauh kita nampak, yang dekat tidak diperhatikan. Terlepas pandang atau sengaja dialihkan pandangan.
Kita diajak melihat segala yang sumbang – segala kesalahan – segala kecacatan di luar sana sehingga kita kabur melihat apa yang ada di depan mata atau terpesona, lali dengan keghairahan.
Kelalian kita mengukur diri kita – apa yang di sekeliling kita, kemungkinan menyebabkan apa yang dikejar – tidak kesampaian.
Kita patut sedar, kemungkinan hasrat kita, perjuangan kita demi memartabatkan rakyat, demi keadilan dan menentang kezaliman menjadi landasan untuk yang lain merealisasikan cita-cita politik peribadi, akhirnya yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Maka, disebut ikon menuntut perubahan – memperjuangkan rakyat, menentang korupsi, kronisme dan nepotisme dan perjuangan Reformasi yang menjadi landasan perjuangan, disertai dengan lantang dan berani, satu desakan perubahan yang akhirnya belum mencapai kejayaan menyeluruh, malah seakan-akan sampai ke jalan gelap perpecahan.
Kenapa? Dalam Barisan Alternatif, DAP pernah meninggalkan gabungan itu, PAS akhirnya juga berpecah dari Pakatan Rakyat dan tidak menyertai Pakatan Harapan.
PAS berpecah dengan tertubuhnya Amanah, bergeser juga dengan Parti Sosialis Malaysia – menunjukkan perpecahan di kalangan pembangkang, dalam keadaan pembangkang sepatutnya amat kuat mencabar Barisan Nasional (BN).
Seakan-akan akhirnya permuafakatan itu tidak kekal, kucar-kacir dan meruntuhkan hasrat perjuangan.
Jangan memandang jauh – jangan menuduh yang lain, kita mula melihat yang dekat, rapat dan mungkin diri kita.
Dalam kita melihat dan berusaha memperjuangkan keadilan untuk semua, menentang yang mungkar dan memperjuangkan hak – kita lupa ada yang menyusun kebatilan untuk cita-cita politik, menghalalkan cara untuk matlamat dan menjadi punca perbalahan yang akhirnya memincangkan perjuangan.
Kita seharusnya mula merenung ke dalam, mencari di mana tersangkut perjuangan ini – apa punca perbalahan dan apa punca sebenarnya persengketaan sesama sendiri.
Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti muncul. Orang yang bertanggungjawab dalam ledakan Reformasi akhirnya terkesan mempolitikkan perjuangan.
Apakah ini sebenarnya pernah kita diteliti? Adakah kita mungkin terlepas pandang, mungkin matlamat berbeza – kehendak berbeza walaupun nampak serupa?
Hasrat perjuangan kita, rupanya adalah cita-cita politik Anwar. Lantas apa yang dihasratkan sentiasa terbantut dengan percanggahan dan dimanipulasi untuk politik kehendak peribadi.
Bukan baru – PAS pernah mempersoalkan Anwar – pernah meminta ahlinya tidak taasub dengan Anwar, ada suara mengatakan ini bukan perjuangan membebaskan Anwar semata-mata, ada suara yang mengatakan perpecahan dan tindakan keluar beberapa cabang dan ranting di Sabah adalah kerana manipulasi dan tindakan Anwar, pergeseran dalam PKR khususnya, segmen – berpihak-pihak yang terbentuk dalam PKR, isu Langkah Kajang dan banyak sekali yang menunjukkan kepentingan politik tertentu yang memecahkan wadah perjuangan yang ada.
Apakah tidak kita terfikir kenapa sehingga kini – dengan isu kepincangan kepimpinan BN dan masalah yang mereka hadapi akibat perpecahan sekian lama – zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar – disambut dengan isu rasuah dan pecah amanah kepimpinan Umno/BN, namun kemenangan di pihak pembangkang terbantut dan tidak menyeluruh.
Mengapa permuafakatan antara pembangkang sering bergolak dan tidak ada persefahaman? Kenapa PAS sebelum ini menerima DAP dan kemudian menentang DAP? Kenapa PAS dan PKR, jelas nampak berkelahi di Selangor dan akhirnya bercerai-berai?
Mainan siapa semua ini? Adakah mungkin kerana mainan politik yang tidak sihat, tidak jujur dan tidak sepakat menjadi punca perpecahan di kalangan pakatan pembangkang? Apakah tidak terselit dalam semua kemelut itu nama Anwar?
Dalam Majalah Tamadun 14 Jun 1998, zaman permulaan formulasi Reformasi, Mohamad Sabu yang sekarang ini presiden Amanah pernah mentakrifkan Anwar sebagai politikus yang ganas, malah lebih ganas daripada Dr Mahathir.
Memetik lagi kenyataan Mohamad Sabu, Anwar adalah “elemen yang paling bahaya, baik kepada umat Islam mahupun Melayu Malaysia”.
Aktivis Reformasi tersohor, Hishamuddin Rais pernah menyifatkan perpecahan PKR dan Pakatan juga dikatakan berpunca daripada Anwar – dengan tidak menyatakan secara spesifik, tetapi menyatakan satu pihak mengatakan ini dan pihak lain mengatakan perkara berbeza adalah punca perbalahan.
Ini belum lagi kita menyentuh pembentukan “Anwarisme” dalam parti-parti gabungan pembangkang. Ini jelas punca perpecahan PAS.
Terbentuknya kumpulan “Erdogan” dalam PAS sehingga buat pertama kalinya kumpulan tidak berserban mula menguasai hala tuju PAS. Pemecatan Hassan Basri yang mengutuk “Anwarisme” sebagai satu fahaman berbahaya melihatkan resapan mainan Anwar dalam memecah belah dan tawan.
Bukan itu saja, mengingatkan kita juga, Laporan The Star Online (9 Februari 2009) – DAP – Karpal Singh juga mendesak meminta Anwar bertaubat – kerana mengkhianati perjuangan rakyat dan menyebabkan perpecahan antara pakatan pembangkang.
Ketika itu, Karpal mahu halangan lompat parti dibuat antara gabungan pakatan.
Kita renung semula, adakah tidak Anwar dengan politik individu dan hasrat tersendiri, pembentukan dan menyerapkan “Anwarisme” dalam parti-parti yang bergabung dengan Pakatan Rakyat (sebelum ini), memanipulasi serta mendahulukan kepentingan peribadi merupakan punca utama perpecahan dalam gabungan pembangkang sehingga memungkinkan hasrat menumbangkan Umno/BN dirosakkan.
Adakah ini tidak benar? Apa yang diperjuangkan sebenarnya terhalang kerana Anwar yang menjadi punca perpecahan antara gabungan pembangkang.
Dalam satu kenyataan yang memetik tulisan dalam Buku Agenda Anwar – Dilema PAS, disifatkan Anwar sungguh licik, sehingga musuh yang hendak ditenggelamkan tidak sedar mereka hampir lemas.
Dalam konteks ini, musuh bukan saja melibatkan musuh parti politik, tetapi yang dianggap musuh tidak mengikuti kehendak dan hasrat politik beliau. Dalam perkataan lain – kawan sendiri yang mahu ditenggelamkan tidak sangka sudah hampir lemas.
Mungkin sudah sampai masanya kita melihat semula pakatan pembangkang dalam usaha menuntut perubahan dalam kongkongan “compressed political agenda of Anwar Ibrahim”.
Penyusunan kehendak secara terlampau, banyak mempolitikkan isu – menjadikan agenda politik baru tersekat, usaha memartabatkan rakyat, membela rakyat terbantut kerana mendahulukan politik peribadi – dendam politik sendiri mengatasi kepentingan lain.
Ini yang disebut Ali bin Abi Thalib RA: “Al-Haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh Al-Bathil yang terurus dengan baik”.
Sepatutnya kita mula membicarakan semula agenda perjuangan – menilai dan mendefinisikan semula – kegagalan kerana Anwar yang mengurus, tidak mengurusnya dengan baik dan sebenarnya mengganggu perjuangan yang diasaskannya sendiri.
Mungkin kita perlu sedar segera daripada terserap dalam kerangka politik yang memperjuangkan hasrat politik semata-mata dan berbeza.