Di sebalik geseran Rafizi dan Azmin


Ketegasan Anwar dalam menangani konflik ini dipersoalkan dalam usaha menyelesaikan pergeseran yang dikatakan wujud antara Rafizi, Wan Azizah dengan Azmin.

Firdaus Hamzah, Free Malaysia Today

Isu pergolakan pemilihan calon Selangor sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mula tersebar luas.

Gimik yang dibuat Tian Chua sebenarnya hanya mahu memberi amaran kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk berhati-hati dalam melakukan pemilihan calon untuk PRU14. Tian Chua dilabel sebagai orang Datuk Seri Azmin Ali.

Rombongan Zuraida Kamaruddin, ketua Wanita PKR dilaporkan oleh kebanyakan media sudah membuat perjumpaan mengenai isu pemilihan calon.

Dilaporkan presiden menggugurkan calon-calon yang dikatakan rapat dengan pilihan kem Menteri Besar Selangor, Azmin. Juga dimaklumkan perjumpaan itu gagal menyelesaikan masalah pemilihan calon.

Azmin mengeluarkan kenyataan beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon dan tidak ada senarai mereka yang digugurkan seperti dakwaan media.

Dalam gelora Selangor ini, nama Rafizi Ramli, naib presiden PKR dikaitkan dengan pembabitan dalam mempengaruhi keputusan memilih calon.

Beliau dikatakan terlibat dalam menasihati Wan Azizah. Diberitakan, ini merebak ke seluruh negara dengan membuka perbalahan yang belum selesai antara Rafizi dengan Azmin. 

Rafizi dianggap musuh Azmin sejak mendakwa berlaku rasuah berbentuk seks dalam pentadbiran menteri besar itu. Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Satu laporan dikatakan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pertembungan Rafizi dan Azmin bukan baru. Beberapa segmen dalam PKR mendakwa Azmin sedang membina kartelnya, membina sokongan di peringkat akar umbi – memastikan penyokongnya mendapat dan memenangi jawatan dalam parti.

Pertembungan Rafizi dan Azmin juga dikatakan berlaku sejak 2010, sewaktu pemilihan Pemuda dengan calon pilihan Azmin – Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Di sebalik pergeseran Rafizi dan Azmin

Mereka yang mengikuti perkembangan PKR sedar pergeseran ini akan dan sedang membengkak. Namun, persoalan lebih besar ialah Wan Azizah nampaknya turut terlibat dalam persengketaan dan pergeseran ini.

Berita penolakan beberapa calon Azmin di Selangor mengukuhkan perbalahan, bukan sahaja antara Rafizi, malah Wan Azizah dengan Azmin.

Laporan Sinar Harian semalam yang Wan Azizah meninggalkan majlis pelancaran pusat operasi PKR Seberang Jaya ketika pengacara menjemput Azmin berucap, turut membayangkan ada pergeseran besar antara presiden PKR itu dengan timbalannya.

Persoalannya ialah berapa besar pergeseran antara Azmin dan Wan Azizah dan apa pula peranan ketua umum dalam isu ini.

Sebelum hari ini, ada yang mengatakan usaha menolak kronisme diungkit dalam PKR – memberi maksud kehadiran Wan Azizah sebagai isteri ketua umum, dan Nurul Izzah Anwar, anaknya sebagai kepimpinan tertinggi dalam PKR dan juga ahli Parlimen.

Azmin pernah dilaporkan mengkritik amalan nepotisme dan kronisme dalam PKR, merujuk Wan Azizah, secara terbuka di televisyen.

Gembar-gembur konflik antara Wan Azizah dan Azmin ini juga bukan perkara baru. Laporan dan berita mengenai konflik ini selalu ditutup demi kepentingan parti.

Namun, kini semakin jelas ada percanggahan antara mereka. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikatakan memainkan peranan dalam perkara ini.

Ketegasan Anwar dalam menangani konflik ini dipersoalkan dalam usaha menyelesaikan pergeseran yang dikatakan wujud antara Rafizi, Wan Azizah dengan Azmin.

Nama-nama seperti Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Johari Abdul juga timbul sebagai bukan orang Azmin dan dikaitkan sebagai “Anwarisme”.

Sampai bila konflik ini akan berterusan? Adakah konflik seperti ini memberi petanda baik sekiranya mereka memerintah negara ini? Semua ini seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meledak.

 



Comments
Loading...