Surat terbuka kepada orang Melayu sempena PRU14
Perbalahan politik di antara orang Melayu dan orang Cina, yang kita alami sejak Merdeka dan Mei 13, akan berterusan sehingga kiamat.
Sebastian Loh, Malaysia Impact
Sebelum saya bermula, saya ingin meminta maaf untuk Bahasa Malaysia saya yang kurang fasih. Kali terakhir saya menulis dalam BM adalah pada tahun 2002 bila saya mengambil ujian SPM. Biasanya, saya menulis dalam Bahasa Inggeris (jangan hairan kalau surat ini berbunyi macam Google Translate). Namun begitu, saya ingin berkongsi pendapat dan perasaan saya dengan rakan-rakan berbangsa Melayu sempena PRU14.
Dengan izin, I feel very strongly about this. Saya hanya harap saudara-saudari akan membaca huraian saya dengan fikiran terbuka.
Saya orang Cina. Realitinya, 90% daripada orang Cina akan menentang kerajaan dan mengundi Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang akan datang. Kenapa? Ini adalah kerana mereka marah. Dan sebagai orang Cina, saya faham asas kemarahan itu.
Sudah berpuluh-puluh tahun, orang Cina tidak puas hati dengan sistem pentadbiran yang memberi layanan istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera lain. Mereka berfikir sistem itu rasis dan tidak adil. Mereka percaya kerajaan mengabaikan mereka dan melayan mereka sebagai warganegara kelas kedua (atau ‘second-class citizens’). Secara jujurnya, saya pun pernah berfikiran begitu dari sekolah rendah sampailah ke universiti.
Tetapi sekarang, saya sedar bahawa saya salah. I was wrong. Biarkan saya terangkan.
Saya tidak boleh menafikan kekecewaan orang Cina yang berpendapat bahawa mereka mendapat layanan yang tidak adil kerana warna kulit mereka. They have a point. Padangan and perasaan mereka patut diberi simpati.
Tetapi saya boleh faham juga sudut padangan orang Melayu. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa orang Melayu berhadapan dengan diskriminasi yang sengit dalam sektor swasta. Contohnya, orang Melayu jauh lebih jarang dipanggil untuk temuduga berbanding dengan orang Cina (rujuk kepada kajian “Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hiring in Malaysia” oleh dua pakar ekonomi, Lee Hwok-Aun dan Muhammed Abdul Khalid). Justeru, orang Melayu memang perlu bantuan untuk menangani ketidakadilan ini.
Saya sudah bekerja hampir 10 tahun sekarang (di beberapa syarikat) dan percayalah saya sering dengar pelbagai tohmahan rasis tentang orang Melayu keluar dari mulut bos dan rakan sekerja yang bukan Melayu. Yang hairannya, orang macam inilah yang selalu mengadu tentang gejala rasisme di Malaysia.
Saya sedar bahawa orang Cina tidak akan mencapai kesaksamaan (equality) yang kami mahu selagi orang Melayu tidak maju. Jatuh bangun kita bersama (We rise and fall together). Ketegangan di antara kaum Melayu dan kaum Cina sejak Peristiwa Mei 13 masih wujud kerana ramai orang gagal mengenali kebenaran ini.
Perlukah Melayu ditolong bukan soalnya (Ini adalah soalan yang paling digemari oleh penyokong kuat DAP). Soalnya adalah bagaimana kita patut menolong orang Melayu. Inilah persoalan yang paling penting kepada saya dalam pilihanraya yang akan datang. Percayalah pilihan kita akan memberi kesan yang amat besar kepada hubungan di antara kaum dan masa depan seluruh negara.
Sebelum kita membuat keputusan, kita perlu bertanya: Kenapa kebanyakan orang Melayu masih mundur walaupun diberikan bantuan kerajaan sejak berdekad-dekad? Jawapannya mudah sahaja: Kronisme.
Pada mulanya, Mahathir menyertai bidang politik untuk membela hak orang Melayu. Akan tetapi pada zaman pemerintahannya, projek-projek kerajaan dan juga hak monopoli diberikan kepada ahli perniagaan kaya yang mempunyai hubungan rapat dengannya. Ini bukan perkara baharu: pihak pembangkang sering mengkritik Mahathir atas isu ini suatu ketika dahulu.
Wang kerajaan dibazirkan ke atas syarikat kroni, dan apabila projek gagal, syarikat-syarikat yang sama terpaksa diselamatkan (atau di-bail out) oleh kerajaan juga. Contohnya, projek LRT dan monorail kebanggaan Mahathir akhirnya terpaksa di-bail out oleh kerajaan untuk jumlah RM8.68 bilion.
Cuba bandingkan dengan keadaan sekarang. Projek MRT1 (Sungai Buloh-Kajang) Najib disiapkan lebih awal daripada jadual dan dibawah bajet (RM2 bilion lebih murah). Yang pentingnya, setengah nilai kontrak projek itu diberikan kepada kontraktor-kontraktor bumiputera melalui sistem tender terbuka (open tender). Dalam kata lain, kontraktor bukan kroni. Siapa kata Melayu tidak mampu buat kerja yang baik dan cekap?
Sudah beberapa kali Mahathir menyifatkan orang Melayu sebagai malas. Kononnya, dia gagal mengubah sikap orang Melayu. Kepada saya, ini hanya alasan kerana dia yang bagi peluang kepada kroninya dan bukan orang Melayu biasa. Mungkin kroninya yang malas (sebab itu banyak projek gagal), sedangkan kebanyakan orang Melayu tidak. Saya tahu secara peribadi kerana telah bekerja dengan banyak orang Melayu yang rajin, jujur, bijak, dan berupaya. It was a true privilege to work alongside them.
Ya, saya tahu apa yang saya katakan mungkin akan menyinggung perasaan ramai orang. Masih ada ramai orang Melayu yang menyanjungi Mahathir kerana pencapaiannya sebagai PM. Tetapi, bagi saya, kita perlu melihat rekod Mahathir secara objektif.
Kini, dia sering menuduh kerajaan menjual negara kepada orang asing. Tidak boleh dinafikan bahawa dia membina KLCC dan Litar Antarabangsa Sepang yang dilihat sebagai pencapaian hebat. Tapi siapa sebenar yang mendapat manfaat dari projek-projek itu?
Yang membeli belah di Suria KLCC itu orang Melayu atau orang asing kaya? Yang membeli tiket menonton perlumbaan F1 di Sepang itu orang Melayu atau orang asing kaya? Itulah perbezaan penting di antara kerajaan Mahathir dan kerajaan pada hari ini.
Kerajaan Najib membayar BR1M sebagai suatu bantuan dan rangsangan ekonomi kepada orang ramai, kebanyakannya orang Melayu. Mahathir pula menyifatkan BR1M itu sebagai rasuah. Pada pendapat saya, lebih baik rakyat ‘dirasuahkan’ untuk membeli barang keperluan daripada kroni diberikan duit untuk membeli kuda. Mungkin itu asas kemarahan Mahathir: duit kerajaan sekarang disalurkan secara langsung kepada rakyat dan bukan lagi melalui orang tengah (middlemen) dan kroni.
Saya faham bahawa banyak orang marah terhadap kerajaan Barisan Nasional hari ini. Tetapi saya yakin bahawa nasib bumiputera tidak akan maju jika Mahathir kembali sebagai PM. Kita akan balik kepada tahun 1990-an di mana kroni dikayakan dan masyarakat Melayu akan kekal mundur. Tiada apa-apa yang akan berubah. Orang Melayu akan terus bergantung kepada bantuan kerajaan. Dan orang Cina akan terus marah kerana tidak menerima layanan yang sama.
Yang untungnya kroni Mahathir yang akan merompak sumber kerajaan yang sepatutnya diagihkan kepada orang Melayu. Yang untungnya juga DAP yang akan membangkitkan dan mengambil kesempatan atas kemarahan orang Cina. Perbalahan politik di antara orang Melayu dan orang Cina, yang kita alami sejak Merdeka dan Mei 13, akan berterusan sehingga kiamat.
Saya cukup letih dan muak dengan dinamik ini. Kita perlu buat sesuatu yang baru. Kita perlu menjayakan agenda bumiputera. Once and for all.
Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib bukanlah sempurna, tetapi saya percaya ia merupakan peluang terakhir untuk perubahan yang benar. Kita sudah boleh melihat hasil awal reformasi Najib. Samada dalam projek kerajaan atau BR1M, peluang dan bantuan sedang diberikan kepada orang Melayu yang layak atau memerlukannya. Sekarang, kroni diketepikan. Kita mesti mara ke hadapan, bukan balik kepada masa yang lampau.
Pada pendapat saya, Najib perlu diberi peluang menyempurnakan reformasinya tanpa campurtangan Mahathir. Sekarang, Mahathir melawan Najib. Pada tahun 2008, Mahathir melawan Pak Lah. Pada tahun 1998, Mahathir melawan Anwar. Pada tahun 1960-an, Mahathir melawan Tunku Abdul Rahman. Ini tidak termasuk pertelingkahan Mahathir dengan Tun Hussein Onn, Tengku Razaleigh, dan Musa Hitam. Siapa yang Mahathir tidak lawan? Cukup-cukup lah.
Agenda bumiputera terlalu penting untuk digadaikan untuk agenda peribadi. Ia terlalu penting kerana maruah dan kemakmuran bangsa Melayu bergantung kepadanya. Ia terlalu penting kerana kesaksamaan untuk bangsa Cina, India, dan semua masyarakat Malaysia lain bergantung kepadanya.
Saya bukan Melayu. Saya tidak mungkin dapat memahami pemikiran atau perasaan orang Melayu. Kefasihan Bahasa Malaysia saya pun agak memalukan. Tetapi kalau saya boleh meyakinkan saudara-saudari untuk mengundi demi masa depan dan bukan kerana kebencian, itu cukup untuk saya. Saya amat percaya kalau kamu berjaya, saya akan berjaya juga.