Mahathir Layak Dinobat ‘Pelakon Terbaik’ – PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “pelakon nombor satu negara” dan layak mendapat “best actor academy award” kerana sifat kepura-puraannya.

Najib berkata ini dibuktikan apabila Mahathir suatu ketika dahulu lantang mengkritik seteruk-teruknya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengaitkannya dengan salah laku seksual, namun kini berbaik-baik pula dengan Anwar demi matlamat peribadinya.

“… baru-baru ini dengan selamba dia pergi ke mahkamah (semasa perbicaraan) nak jumpa dengan Anwar. Saya tengok pun geleng kepala dengan telatahnya (Mahathir). Orang macam ini kita tidak boleh pakai.

“Kita kena ada pendirian, dalam politik kalah menang tidak mengapa asalkan ada maruah diri… dia boleh berbuat demikian tetapi saya tidak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Jerantut dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Jerantut di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Bahagian UMNO Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Jerantut, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Lebih 2,000 anggota jentera UMNO dari sekitar kawasan Parlimen Jerantut dan kakitangan jabatan kesihatan daerah, turut hadir pada majlis berkenaan.

Najib berkata Dr. Mahathir selama ini hanya menjadi ‘’kuda tunggangan DAP” untuk memecahbelahkan Orang Melayu di negara ini bagi merealisasikan hasrat politik mereka menjatuhkan kerajaan.

“DAP nak tunjuk mereka baik kepada Orang Melayu, itu tipu sahaja… hakikatnya saya nak tanya DAP ini suka kepada orang Islam atau tidak, betul ke mereka nak bantu memajukan kawasan luar bandar seperti mana BN yang ditunjangi UMNO lakukan.

“Ini berbeza dengan MCA dan MIC serta Gerakan, yang memang ikhlas membantu rakyat, sebab itu negara kita maju, aman dan menjadi negara hebat sehingga kita melihat banyak perubahan besar yang jadi kepada negara kita,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di Jerantut akan dibina seperti dimohon penduduk setempat melalui ucapan Ahmad Nazlan sebelum itu.

Najib turut merasmikan projek menaik taraf Hospital Daerah Jerantut, merangkumi satu blok bangunan baharu dengan kapasiti 30 katil, jabatan kecemasan dan trauma, jabatan pesakit luar dan klinik pakar.

Hospital berkenaan yang mempunyai 77 katil mula beroperasi tahun 1977, sebelum dirasmikan pada tahun 1979.

Selain itu, Najib turut umum pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Kampung Padang Piol selain penaiktarafan tiga klinik aitu Klinik Kesihatan Kampung Labu, Klinik Kesihatan Kuala Tahan dan Klinik Kesihatan Sungai Tekam Utara.



Comments
Loading...