Manifesto Pakatan Harapan P. Pinang berbeza mengikut kaum?
(The Rakyat) – Parti Gerakan Pulau Pinang melahirkan rasa terkejut dengan manifesto Pakatan Harapan negeri ini bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dibuat berbeza mengikut tiga kaum.
Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, daripada apa yang dilaporkan akhbar Cina, kandungan manifesto Pakatan Harapan negeri ini yang dilancarkan malam tadi itu tidak sama bagi cetakan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan bertujuan membohongi pengundi yang pastinya tidak memahami ketiga-tiga bahasa berkenaan.
“Bagaimana kandungan manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang ini boleh berbeza mengikut kaum? Bukankah mereka sepatutnya menjadi pemimpin kepada semua kaum?” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri turut mempersoalkan mengenai 68 kandungan manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang itu yang disifatkan `pembohongan tambahan’ kepada penduduk negeri ini.
Ujar beliau, Kerajaan DAP Pulau sehingga kini masih belum menunaikan 51 janji mereka sejak 10 tahun mentadbir negeri dan kini membuat lebih banyak janji baharu.
“Dengan manifesto baharu itu, bermaksud Pakatan Harapan kini mempunyai 119 janji untuk ditunaikan kepada penduduk. Adakah mereka beranggapan rakyat akan percaya mereka mampu melaksanakannya dalam tempoh lima tahun akan datang?” katanya.
Paling mengecewakan juga, tambah beliau, manifesto Pakatan Harapan itu tidak memasukkan janji untuk menghentikan projek di lereng bukit atau memulihkan kembali kawasan berisiko itu yang sudah digondol sebelum ini.
“Ini menunjukkan Pakatan Harapan Pulau Pinang langsung tidak mengendahkan mengenai kepentingan menjaga dan mempertahankan alam sekitar di negeri ini,” katanya.