‘Kudeta’ Dr Mahathir untuk rampas PKR
Dr Mahathir dalam misi menawan, merampas PKR telah melenyapkan perjuangan Reformasi lebih 20 tahun.
Oleh Ong Kim Seng, Free Malaysia Today
Kita pernah dengar istilah kudeta atau “Coup d’état”. Rampasan kuasa atau penggulingan yang diistilahkan sebagai pengambilalihan kuasa secara paksa.
Ada antara negara yang kuasa pemerintahan dirampas, kerajaan digulingkan dan peralihan kuasa dibuat secara paksa.
Namun, jarang kita dengar mengenai rampasan pengaruh, memaksa menerima sungguhpun pada awalnya seperti “mutual consensus” dalam kesepakatan antara sesama mereka dan akhirnya didominasi, dijajah dan ditawan.
Jika mengistilahkan rampasan pengaruh ada perbezaan metodologi dalam pelaksanaannya.
Rampasan kuasa dilakukan secara paksa dengan menggulingkan dan terus mengambil alih semua pegangan seperti dalam persyarikatan ada istilah “hostile takeover” iaitu gerakan mengambil alih syarikat melalui pembelian saham dengan tujuan menumpukan pengambilalihan pengurusan sesebuah syarikat.
Namun, pengambilalihan dan rampasan pengaruh tidak dilakukan sejenak atau segera.
Sebenarnya, istilah ini belum terungkai pengertiannya. Belum terbit, tetapi diwujudkan semata-mata untuk memberi senario apa yang ada pada PKR hari ini dan gabungan pembangkang yang sebelum ini Pakatan Rakyat bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).
Jika diteliti, perubahan sudah berlaku dalam gabungan pembangkang tanpa disedari.
Apa yang ada dalam pembangkang sudah beralih daripada gerakan bertunjangkan kerakyatan kepada elitis kepimpinan dan peralihan hari ini juga melibatkan prinsip pegangan perjuangan awalan pembentukan.
Bermula dengan penerimaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat sehinggalah dominasi kuasa dalam PH yang beliau bertindak sebagai pengerusi.
Aliran masuk nilai perjuangan semakin berbeza dan hari ini apa yang mahu dilakukan Dr Mahathir diperakui semua dengan sokongan menyeluruh.
Dr Mahathir telah berjaya merampas pengaruh yang ada dalam PH sehingga gabungan pembangkang itu, khususnya PKR tidak sedar mereka dalam kelemasan.
Ini jelas diperakui Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Rais Hussin yang berkata “pembebasan dan masa depan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar menguasai agenda PH”.
Kenyataan ini dibidas penyelaras “Free Anwar Now” sebagai Belanda mendapat tanah yang bermaksud mahu menuntut lebih banyak dan tidak tahu mengenang budi.
Namun, apa juga yang dikatakan Dr Mahathir berjaya menyusup dan memanipulasi agenda yang ada serta menyebabkan pengalihan fokus yang tidak disedari PKR dan sekutunya sebelum PH.
Meniti kononnya atas persamaan matlamat, tetapi Dr Mahathir sebenarnya berjaya melututkan musuh politiknya, menyenyapkan salah laku sebelum ini, malah meletakkan dirinya sebagai pengatur politik, membentuk dan memotret diri sebagai jalan kemenangan untuk PH.
Perakuan Dr Mahathir mampu membawa kemenangan kepada PH sudah menular dan diterima sebagai hakikat dan secara automatik memerangkap serta menawan keseluruhan komponen dalam PH.
Satu penggadaian kepada roh perjuangan PKR yang mana pendekatan matlamat perjuangan Reformasi berasaskan penentang terhadap Dr Mahathir, kini terkubur.
Memandangkan pencabar terdekat dan satu-satunya pemimpin yang selama ini membuktikan kejayaan menentang beliau dipenjarakan, maka penyerapan ke dalam PKR amat mudah dilaksanakan.
Semua dimanipulasi dengan gambaran kejayaan membentuk kerajaan.
Mewujudkan tsunami Melayu, dipadu penolakan orang Cina dan India terhadap Umno/Barisan Nasional (BN) serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Maka, terpesona dan khayal peserta politik dalam PKR dan komponen mereka sehingga identiti kepartian sanggup digadai kepada Dr Mahathir.
Maka, segala aliran perjuangan berpusat kepada agenda Dr Mahathir, cara dan kehendaknya.
Mungkin dalam selimut, PH tidak sedar bermula gerakan rampasan pengaruh oleh Dr Mahathir dalam keadaan ketua umum PH dan PKR sedang meringkuk dalam penjara.
Malah, dalam PKR sendiri sudah berlaku perpecahan ketara dan ini ditujukan kepada pengaruh Dr Mahathir, khususnya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang dikatakan terlibat dalam memulakan langkah atau membuka ruang untuk Dr Mahathir memasuki gabungan pembangkang itu.
Hipotesis lain juga melibatkan kesedaran PKR bahawa pengaruh kuat Azmin dan pengaruh ini diselubungi agenda Dr Mahathir, lantas wujud keperluan mencantas untuk menahan dan menghalang pengaruh Dr Mahathir tersebar luas.
Usaha membunuh agenda tersembunyi Dr Mahathir perlu dilakukan dalam keadaan matlamat menumbangkan BN/Umno perlu direalisasikan.
Kita boleh lihat dengan tergadai PKR, bersama pakej perjuangan Reformasi seperti tuntutan untuk kes Anwar dikaji semula di bawah kebobrokan politik Dr Mahathir tidak lagi kedengaran.
Kedengaran laungan Reformasi diselang-seli dengan laungan “Hidup Tun” sekaligus melenyapkan pembelaan untuk Anwar.
Ini amat menyedihkan.
Dr Mahathir dalam misi menawan, merampas PKR telah melenyapkan perjuangan Reformasi lebih 20 tahun.
Segala-galanya tertumpu kepada penamaan calon, strategi calon, siapa bertanding dan siapa tidak dicalonkan.
Cantas-mencantas, pergolakan dalam parti angkara kelebihan dos politik.
Seharusnya, kita bertanya kepada diri mengapa sebuah kenderaan yang memacu ke arah kemenangan tiba-tiba diambil alih kepimpinan yang mempunyai banyak liabiliti.
Ini memberatkan, melambatkan dan paling sadis mampu tewas dan tersungkur seperti sebelum ini.
Adakah kita tidak berasa hairan kenapa kepimpinan atasan menerima, sedangkan penyokong marhaen ramai yang tidak bersetuju dengan penggabungan, khususnya dengan Dr Mahathir?
Kenapa kita harus menukar arah, berpatah balik daripada kekuatan yang ada kepada pergantungan palsu yang dibawakan Dr Mahathir.
Hari ini seakan “kudeta” telah berlaku. PKR ditawan, digulingkan tidak secara fizikal, tetapi keruntuhan teras perjuangannya.
Adakah Presiden OKR dan angkatan “My Team” beliau – Rafizi Ramli dan Datuk Saifuddin Nasution sedang menggerakkan langkah untuk merampas semula kuasa, pengaruh dan perjuangan yang tergadai kepada Dr Mahathir yang bakal menjadi perdana menteri ke-7?