Jangan kata ‘tidak’ pada PM, bekas bos MAS dakwa diberitahu Daim
Tajudin Ramli muncul dalam video yang menceritakan bagaimana beliau menerima tekanan untuk membeli MAS pada harga melebihi pasaran.
(FMT) – Di tengah-tengah kerancakan propaganda digital daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menuju 9 Mei, muncul satu video yang menghidupkan kembali drama korporat membabitkan hartawan berpengaruh, Tan Sri Tajudin Ramli, lebih 2 dekad lalu.
Klip itu, yang dikongsi di media sosial dan WhatsApp, memaparkan Tajudin, bekas pengerusi Malaysia Airlines Bhd (MAS) dari 1994 hingga 2001, mengimbau kembali perbualan balik tabir dengan Tun Daim Zainuddin, bekas menteri kewangan yang dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tajudin berkata pada suatu hari Daim menemuinya dan meminta beliau mengambil alih syarikat penerbangan nasional itu melalui pembelian 32% kepentingan dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.
“Saya cakap dengan dia, kalau nak beli MAS, harga RM3 (seunit saham) lah.”
Beliau berkata Daim tidak bersetuju dengan tawaran itu, menyebabkan Tajudin menaikkan tawaran kepada RM5 seunit, pada jumlah sekitar RM1.1 bilion untuk 224 juta saham.
Tajudin mengingatkan Daim nilai saham di pasaran ketika itu bernilai RM3 seunit, pada jumlah sekitar RM600 juta.
“Jadi lebih saya bayar itu: RM400 juta. Kerajaan nak pergi berhutang di luar negeri pun, pada masa itu, nak dapatkan RM400 juta, ‘bercalar kaki’ (sukar). Jadi saya bagi RM400 juta dengan kamu juallah pada saya RM5.”
Tajudin kata selepas membuat tawaran itu, Daim menemuinya sekali lagi, kali ini dengan pesanan daripada Dr Mahathir, perdana menteri ketika itu, meminta beliau membeli saham MAS pada harga RM8 seunit.
“Saya diamlah. Saya kata ‘saya tak boleh beli’.
“Lepas itu baru keluar: ‘kamu tidak boleh kata ‘tidak’ pada perdana menteri’,” kata Tajudin.
Tajudin, yang juga memiliki gergasi telekomunikasi Celcom, membuat pinjaman RM1.79 bilion daripada beberapa bank untuk membiayai pembelian saham MAS.
Kekecohan berlaku 7 tahun kemudian apabila kerajaan membeli kembali saham-sahamnya pada RM8 seunit, mencecah RM1.79 bilion, lebih tinggi daripada nilai sebenar ketika itu.
Pada tahun berikutnya, syarikat pengurusan aset kerajaan, Danaharta, yang mengambil alih pinjaman tak berbayar itu, mahu mendapatkan kembali kira-kira RM1.6 bilion dari Tajudin.
Tajudin kemudian terpaksa melepaskan kepentingannya bernilai kira-kira RM700 juta dalam Celcom, syarikat yang kemudian diambil alih oleh Telekom Malaysia.
Pada 2005, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang menyebelahi Danaharta terhadap Tajudin membabitkan RM589 juta.
Pada tahun berikutnya, Tajudin memfailkan tuntutan balas, menuntut relif berjumlah RM13.36 bilion daripada kerajaan, TM, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Celcom serta 22 individu.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata dia dipaksa untuk membeli MAS oleh Dr Mahathir dan Daim, dakwaan yang dinafikan bekas perdana menteri itu dalam biografi peribadi, “Doctor in the House”.
Dr Mahathir berkata Tajudin mahu menukarkan sahamnya dalam Malaysian Helicopter untuk saham MAS, dan menambah Tajudin terpaksa meminjam RM1.8 bilion kerana kerajaan bertegas mahukan dia membuat bayaran secara tunai.
“Oleh itu, dia tidak dipaksa untuk membeli saham itu oleh kerajaan tetapi terpaksa banyak meminjam kerana cagarannya yang agak sederhana,” kata Dr Mahathir.