Majikan: Pekerja asing masih diperlukan
(FMT) – Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan terus membenarkan pengimportan pekerja asing tetapi menambahbaik proses itu dengan menghapuskan keperluan untuk orang tengah.
Mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang mengatakan semua perjanjian buruh asing akan dikaji semula, Naib Presiden FMM Nathan Suppiah berharap ini tidak bermakna syarikat-syarikat tidak lagi dibenarkan mengambill pekerja asing.
Beliau berkata negara masih perlukan pekerja asing kerana ramai warga tempatan tidak mahu melakukan kerja “3D” (kotor, berbahaya, sukar).
“Kami faham kebimbangan tentang pekerja asing haram dan sebab itulah kami mahu kerajaan ketepikan ejen dan orang tengah,” katanya kepada FMT.
FMM mewakili lebih 3,000 syarikat.
Suppiah mencadangkan Putrajaya mengadakan perjanjian pengambilan pekerja antara kerajaan dan menetapkan majikan yang mahu mengambil pekerja asing mendapatkan kelulusan melalui sistem permohonan atas talian untuk mengetepikan orang tengah.
Sekarang ini ejen menggalakkan majikan mendapatkan kelulusan untuk pekerja lebih dari yang diperlukan.
“Misalnya kamu perlukan 50 pekerja tetapi ejen akan minta kamu mohon 100 pekerja kerana kerajaan mungkin hanya akan luluskan separuh dari bilangan itu,” katanya. “Tetapi kadang-kadang pihak berkuasa meluluskan 100 pekerja. Pekerja ini dibawa masuk tapi majikan hanya perlukan 50. Jadi ke mana mereka pergi selepas itu? Mereka bekerja secara haram di tempat lain.”
Mengulas kenyataan Kulasegaran tentang kementerian mengkaji mempercepatkan prosedur Mahkamah Perusahaan, Suppiah mencadangkan Jabatan Perhubungan Perusahaan diberi kuasa untuk menyelesaikan kes melibatkan kakitangan percubaan.
“Kadang-kadang seorang majikan melepaskan seorang kakitangan percubaan yang tidak menunjukkan prestasi yang baik selepas 3 bulan. Pekerja dalam tempoh percubaan mesti bekerja keras membuktikan kemampuan mereka tetapi kadang-kadang mereka dapat penuhi tuntutan pekerjaan itu.
“Jika 2 pihak tidak dapat selesaikan perkara ini dengan baik, Jabatan Perhubungan Perusahaan boleh merujuk kes itu kepada menteri dan Mahkamah Perusahaan.”
Beliau berkata membolehkan kes ini diselesaikan di peringkat jabatan boleh menjimatkan masa.
Bercakap kepada pemberita, Kulasegaran memberikan tempoh masa 3 bulan kepada kementerian untuk menyelesaikan 1,970 kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan.