Pakatan menang PRU14 sebab isu, bukan Dr Mahathir, kata Rafizi


(TMI) – KENAIKAN kos sara hidup dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sebab utama pengundi memilih Pakatan Harapan (PH), kata Rafizi Ramli, sekali gus menolak populariti Dr Mahathir Mohamad sebagai faktor penentu kemenangan gabungan itu.

Rafizi berkata tinjauan pendapat yang dijalankan Invoke Malaysia pasca pilihan raya menunjukkan pengundi lebih terkesan dengan dua isu berkenaan berbanding perasaan taat setia kepada Dr Mahathir.

“Kami membuat tinjauan pendapat pasca pilihan raya. Saya cenderung untuk membuat kesimpulan sekarang dan data akan mengesahkannya. Pada akhirnya, isu terbesar adalah isu punca pendapatan. Ia adalah mengenai GST lebih mengatasi isu lain,” kata pengasas Invoke itu kepada Malaysia Decides dalam satu temu ramah.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir dilihat popular dalam kalangan pengundi, partinya Bersatu tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di Kedah, sekali gus membuktikan yang beliau bukan faktor penentu kejayaan PH.

PH berjaya merampas Kedah daripada penguasaan Barisan Nasional (BN), tetapi Bersatu hanya memenangi tiga kerusi, sementara PKR menang enam dan Amanah satu.

PAS turut berjaya merampas tiga negeri daripada BN, termasuk mengalahkan calon Bersatu Wan Saiful Wan Jan di Pendang.

“Dr Mahathir menang besar sebelum ini di Kedah, tetapi kali ini PAS menang besar di Kedah.

“Ini bermakna, untuk kaum Melayu, jika mereka perlu memilih antara Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir dan PAS, mereka akan pilih PAS,” kata Rafizi.

Penganalisis antarabangsa dan pemerhati menyifatkan “faktor Mahathir” sebagai kunci utama kemenangan luar jangka PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memenangi 122 kerusi Parlimen berbanding BN 79 kerusi.

Dr Mahathir berjaya menyatukan pembangkang yang bertelagah dan berpecah dan kepimpinannya memberikan strategi dan struktur untuk PH menghadapi PRU14.

Golongan cerdik pandai juga menyifatkan kejayaan PH didorong oleh faktor Dr Mahathir dan partinya Bersatu yang berjaya menembusi kawasan luar bandar, yang gagal dilakukan PKR dan DAP sebelum ini.

 



Comments
Loading...