Pasaran akan stabil bila dasar kerajaan jelas


(Bernama) – Banyak faktor yang mempengaruhi pasaran, namun aliran keluar dana ekuiti baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Penganalisis bagaimanapun berpendapat keadaan ini akan beransur-ansur stabil sebaik sahaja dasar kerajaan kukuh.

Dana asing dilaporkan membawa keluar sebanyak RM2.48 bilion daripada ekuiti tempatan, sebagai reaksi balas terhadap keputusan pilihan raya di luar jangka, selain ketidaktentuan pasaran secara berterusan minggu lepas berikutan perkembangan dan pendedahan mengejutkan, termasuk angka hutang negara.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pasaran akan terus tidak menentu, sekurang-kurangnya dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baru, dengan penggiat pasaran menunggu lebih banyak pengumuman dasar.

Beliau berkata pasaran akan normal apabila “keadaan kembali tenang”.

“Banyak faktor mempengaruhi pasaran. Kebimbangan baru terhadap geopolitik di Korea Utara, serta Timur Tengah menyebabkan peserta pasaran enggan membeli banyak dan memilih untuk memegang lebih banyak instrumen seperti wang tunai bagi mengelak risiko yang semakin besar,” katanya.

Pada masa sama, kebimbangan terhadap kedudukan hutang kerajaan seperti diumumkan Kementerian Kewangan (MoF) menyebabkan pasaran menjadi lebih berhati-hati, namun jaminan kementerian untuk melaksanakan kewajipan melunaskan hutangnya, dapat mengurangkan kebimbangan itu, katanya.

Menurut MoF, hutang negara berjumlah RM1.087 trilion, atau 80.3% daripada keluaran dalam negara kasar pada akhir 2017, selepas hutang rasmi, liabiliti luar jangka dan pembayaran pajakan bagi perkongsian awam-swasta dijadualkan bersama.

“Aliran keluar dana asing masih boleh berlaku dalam jangka masa terdekat. Namun, berdasarkan saiz aliran keluar tersebut yang melampau, ia mungkin sudah berakhir, terutama berdasarkan fundamental ekonomi Malaysia masih kukuh.

“Selain itu, penilaian ringgit yang kurang daripada nilai sebenar juga boleh menarik dana asing untuk membeli saham Malaysia,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau berkata ringgit akan kekal dalam pergerakan kecil antara 3.97 dan 3.98 berbanding dolar AS, dalam tempoh 100 hari pertama.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, tahap jualan ekuiti tempatan semakin berkurang, disokong aktiviti belian oleh pelabur tempatan.

“Proses akan berjalan beransur-ansur (untuk membawa masuk dana asing). Kita perlu bekerja keras untuk meningkatkan keyakinan mereka, saya yakin kita dapat melaksanakannya, namun ini akan mengambil sedikit masa. 

“Tindakan pertama apabila membeli dana tempatan, saya percaya, mereka perlu menumpukan perhatian kepada saham mewah yang mungkin membantu meningkatkan semula indeks. Saya tidak fikir ia akan mencapai tahap tertinggi, namun ini akan mengurangkan kerugian sejak mencatat paras tertinggi pada 19 April 2018, ” kata Pong.

FBM KLCI mencatat paras tertinggi 1,895.18 mata pada 19 April, didorong oleh pembelian dana di kaunter perbankan dan berkaitan Petronas, menjelang pilihan raya pada 9 Mei.

Bersetuju dengan Mohd Afzanizam, Pong berkata antara punca utama yang mendorong dana asing melepaskan pegangan mereka dalam ekuiti tempatan ialah kebimbangan terhadap hutang awam, yang lebih tinggi daripada yang diumumkan sebelumnya.

“Selain itu, isu berkaitan pasaran pesat membangun (EM). (Aset) EM dijual ekoran kebimbangan mengenai aliran keluar yang bermula dengan peningkatan nilai dolar AS.

“Dolar AS mengukuh disebabkan pulangan lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS) (yang cenderung melemahkan mata wang dalam pasaran EM secara mendadak,” katanya.

Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, pengumuman mengenai kedudukan kewangan negara terutama mengenai hutang dan liabiliti, bukanlah sesuatu yang baru dalam kalangan penggiat kewangan, kecuali beberapa butiran yang tidak didedahkan kepada umum.

Beliau berkata pendedahan ini mungkin menimbulkan kejutan, namun ia tidak akan menjurus kepada penurunan dalam penarafan kredit negara.

“Asas-asas ekonomi kita kukuh dan pasaran perbankan dan pasaran modal mempunyai modal yang baik dan cergas.

“Secara semula jadi, akan ada tempoh peralihan dengan kerajaan baru membuat penilaian kedudukan semasa dan mengenal pasti kaedah melaksanakannya.

“Pada masa ini, pembentukan CEP (Majlis Penasihat Kerajaan) dan pasukan petugas untuk menangani isu-isu penting merupakan tindakan tepat untuk menenangkan pelabur domestik dan asing.

“Apabila arah tuju dasar semakin jelas, keyakinan pelabur akan pulih,” katanya.

Mengenai ringgit, beliau berkata mata wang tempatan akan terus tertekan berdasarkan perkembangan sejak kebelakangan ini, baik dalam atau di luar negara.

“Dolar AS terus mengukuh apabila hasil bon negara itu meningkat, sekali gus menekan ringgit. Bagaimanapun, kami masih mengekalkan sasaran 3.95 bagi ringgit pada akhir tahun,” katanya.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bank itu menjangkakan jualan asing mungkin berterusan sepanjang tahun, dengan fasa belian sekejap-sekejap.

Malah katanya semasa pilihan raya 2013, semasa kerajaan terdahulu berkuasa, dana melonjak masuk ke pasaran saham Malaysia sehari selepas pilihan raya sehingga meningkat kepada RM1.43 bilion, namun kembali ke paras normal dengan dana asing menjual bersih 24 daripada 34 minggu berbaki.

Oleh itu, jualan dijangkakan berterusan sehingga akhir tahun, katanya.

Memandangkan para pelabur asing cenderung memasuki pasaran ekuiti tertentu sebelum pilihan raya, sasaran bagi pelabur asing untuk mengumpul saham di negara Asean berikutnya ialah Thailand dan Indonesia.

“Pilihan raya di Thailand dan Indonesia dijangka diadakan masing-masing pada Februari 2019 dan April 2019,” katanya.

Difahamkan pelabur asing di Malaysia mengumpul RM14.6 bilion pada 2012 dan RM10.3 bilion pada tahun 2017, setahun sebelum pilihan raya.

Bagi minggu ini, beliau berkata dana asing menjual ekuiti Malaysia sejak Isnin hingga Khamis membabitkan hampir RM812 juta yang memperlihatkan jualan berterusan selama 4 hari.

Ekuiti tempatan bernilai kira-kira RM4.5 bilion dibawa keluar oleh pelabur asing dalam tempoh 14 hari, mengatasi aliran masuk RM2.5 bilion yang dicatatkan sejak awal tahun ini sehingga sebelum pilihan raya.

Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Perbankan RHB, Dr Arup Raha berkata sejak pasaran mula menjangkakan kenaikan kadar faedah AS lebih cepat daripada jangkaan, dan dolar AS mula mengukuh pada awal tahun ini, berlaku aliran keluar dana dari pasaran pesat membangun.

“Malaysia tidak terkecuali, dengan menerima aliran masuk sehingga akhir April. Namun risiko pasaran juga meningkat seperti yang dilihat di Argentina atau Turki, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Dana juga keluar dari Malaysia,” katanya.

Arup berkata negara yang terdedah kepada aliran keluar membabitkan ekonomi yang memerlukan dolar AS, yang bermaksud, negara dengan defisit akaun semasa atau hutang dolar jangka pendek yang tinggi atau mempunyai keperluan yang besar untuk mengimport tenaga.

“Malaysia bukan daripadanya. Ia agak selamat, walaupun ia tidak terkecuali. Aliran keluar dijangkakan kembali sederhana, jika tidak berhenti, apabila risiko luar berkurangan,” katanya.

Mengenai hutang kerajaan, beliau berkata perubahan hutang ialah 14.9% daripada KDNK, yang bukan angka yang ketara.

Tidak termasuk liabiliti kontinjen, hutangnya membabitkan kira-kira 65% daripada KDNK, yang tidak mewajarkan penarafannya diturunkan walaupun sudah pasti menarik perhatian agensi penarafan, oleh itu
dasar yang akan dilaksanakan sangat penting, katanya.

Jika kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan ia akan mengekalkan defisit fiskal dan mempunyai rancangan mengurangkan tahap hutang, ini akan memberi keyakinan diperlukan kepada pelabur dan agensi penarafan, katanya.

Bagi ringgit, Arup berkata kumpulan RHB menjangkakan dolar AS akan terus mengukuh, sekali guis melemahkan ringgit sejak pertengahan Januari.

“Kami mengekalkan unjuran ini, terutama dengan momentum pertumbuhan di Amerika Syarikat dan tempat lain di dunia yang mula meningkat. Kami menjangkakan penyusutan ringgit beransur-ansur berbanding dolar AS, namun kekal sebagai antara mata wang serantau yang lebih kukuh,” katanya.

 



Comments
Loading...