Warkah Untuk TPM, Kekalkan Program PERMATA di bawah JPM


YAB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,

Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan tahniah di atas kemenangan parti Datuk Seri dan perlantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan sekadar pada jawatan tetapi memecah rekod untuk menjadi wanita pertama di Malaysia menjawat jawatan tersebut.

Izinkan saya memberikan sedikit pandangan terhadap ketetapan yang dibuat oleh YAB Tun Dr Mahathir beberapa hari lepas mengenai program PERMATA yang akan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Walaupun ini adalah keputusan sebulat suara kabinet, tetapi saya rasa ia perlu dipertimbangkan kembali.

Selama lebih 1 dekad PERMATA telah diwujudkan, program ini berada di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri di mana isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaungnya. Seadilnya, saya juga pernah mempersoalkan mengenai rasionalnya PERMATA berada di bawah JPM dan bukannya Kementerian Pendidikan sepertimana yang diusulkan beberapa ahli parlimen PKR dan DAP pada penggal yg lepas.

Jawabnya kepada persoalan ini adalah PERMATA bukan hanya sebuah program pendidikan awal kanak-kanak sahaja. Tetapi PERMATA telah berkembang jauh dengan tertubuhnya Permata Kurnia (untuk anak-anak autisme), PERMATA Pintar (untuk anak-anak yang punyai kecerdasan luar biasa), PERMATA Insan (untuk anak-anak yang pintar dalam agama dan sains), PERMATA Seni (untuk anak-anak yang punyai bakat seni yang tinggi), Hospital Kanak-Kanak PERMATA dan Perkasa Remaja (program permerkasaan remaja berisiko tinggi).

Jika dilihat, program yang dikendalikan oleh PERMATA tidak terhad dengan penglibatan hanya sebuah kementerian. PERMATA Seni contohnya, berada dibawah kendalian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Hospital Kanak-Kanak PERMATA dan Permata Kurnia juga mendapat fasilitasi daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kerana banyaknya jabatan dan kementerian yang terlibat, maka sebab itulah rasionalnya PERMATA ini diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini. Datin Seri Rosmah, yang juga isteri kepada Perdana Menteri ketika itu pula merupakan ‘driving force’ dalam kejayaan setiap satu program PERMATA.

Tanpa ‘driving force’ sebegini, tidak mungkin begitu pantas PERMATA boleh berkembang dan memberi manfaat kepada ribuan anak-anak Malaysia. Apatah lagi memandangkan banyak program kerajaan sebelum ini terencat dek proses birokrasi yang melampau, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan. Contoh yang paling jelas dalam kecepatan perkembangan PERMATA adalah program PERMATA Pintar yang dapat dilaksanakan dalam hanya beberapa bulan dan kemudiannya sebuah kolej yang dikenali sebagai Kolej PERMATA Pintar berjaya didirikan dalam masa hanya 2 tahun!

YAB Datuk Seri,

Tidak seorang pun dari kita boleh menafikan besarnya manfaat program PERMATA ini khususnya dalam membangun sumber modal insan negara pada masa hadapan. Waima apa jua sekalipun keadaaan, program ini tidak boleh dihentikan malah harus diperkasakan lagi.

Tetapi apa yang diperlukan oleh PERMATA adalah seorang ‘ibu’ yang menjadi tulang belakang atau yang saya sebut di atas – ‘driving force’ kepada program ini. Saya melihat sendiri bagaimana harapan, komitmen dan usaha yang dicurahkan oleh Datin Seri Rosmah untuk program PERMATA ini. Tampak naluri seorang ibu yang bersungguh inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ini adalah asas paling kukuh untuk saya bersama dan membantu beliau selama ini.

Luangkanlah masa YAB Datuk Seri untuk berjumpa dengan anak-anak PERMATA, berbicara dengan ibubapa mereka dan melawat pusat-pusat PERMATA, khususnya Pusat PERMATA Kurnia yang ditubuhkan untuk membantu anak-anak autisme. Berdirinya bangunan PERMATA Kurnia di Sentul itu, dengan segala kemudahan, kepakaran dan keindahan merupakan manifestasi hati Datin Seri Rosmah itu sendiri terhadap kemaslahatan kanak-kanak.

Maka saya berpendapat, adalah lebih elok di kemudian hari jika program ini diteruskan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan YAB Datuk Seri sendiri sebagai ‘driving force’ nya. Bukan apa, saya yakin dan percaya bahawa YAB Datuk Seri juga mempunyai naluri keibuan yang cukup tinggi sepertimana Datin Seri Rosmah. Jika tidak, masakan YAB Datuk Seri mampu untuk mendidik dan membimbing keluarga di saat ketiadaan ketua keluarga di sisi. Kepercayaan saya ini juga terbina kerana saya juga mengenali YAB Datuk Seri secara dekat ketika berkhidmat di pejabat Datuk Seri Anwar satu ketika dahulu.

Bukanlah saya tidak yakin dengan kebolehan Dr Maszlee Malik, seorang ahli akademik tersohor yang kini menjawat jawatan Menteri Pendidikan untuk meneruskan program PERMATA. Tetapi saya fikir, terlalu banyak perkara yang harus diteliti, dikaji dan diubah dalam sistem pendidikan negara secara total dan ini akan mengambil sejumlah besar komitmen dan fokus beliau dalam tugasnya. Agenda PERMATA itu terlalu besar buat masa depan negara dan ia memerlukan perhatian yang khusus.

Tidak ada salahnya jika YAB Datuk Seri juga bertanyakan nasihat dan pandangan mengenai program PERMATA kepada Datin Seri Rosmah sendiri kerana PERMATA merupakan idea beliau, dan usaha beliau selama lebih 10 tahun. Siang malam pundak fikiran beliau bekerja keras untuk memperkasakan program PERMATA. Jurang perbezaan politik, tidak harus menjadi garis pemisah untuk sesuatu yang baik bagi masa depan anak-anak Malaysia yang tercinta.

Kita boleh terus berdebat mengenai permasalahan siapa benar dan siapa salah, apa yang fitnah dan apa yang tidak, apa yang haq atau apa yang batil, tetapi perdebatan ini tidak akan ada penghujungnya dan jika ia menjadi batu pemisah kepada sesuatu yang baik maka ia amat merugikan negara.

Dan saya yakin, seluruh rakyat Malaysia tidak mahu perdebatan politik ini menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Sedangkan Datuk Sri Najib dan Datin Seri Rosmah ketika berada di tampok pemerintahan, pernah meletakkan perbezaaan politik ketepi untuk melawat Dato’ Seri Anwar di hospital. Seluruh rakyat bersorak gembira dengan sekeping gambar yang mencerminkan   ukhwah antara pemimpin walaupun menganut fahaman politik berbeza.

Saya juga amat gembira jika YAB Datuk Seri dapat melihat dengan lebih mendalam lagi mengenai program PERMATA. Bukan sahaja inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, malah melihat betapa cekap dan telusnya pengurusan PERMATA sebelum ini. Setidak-tidaknya, dalam segala keributan mengenai pelbagai tuduhan terhadap Datin Seri Rosmah, YAB Datuk Seri akan maklum bahawa tuduhan beliau mencuri duit PERMATA itu adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Kemudian berikanlah keadilan untuk beliau dalam hal ini. Keberadaan beliau yang mencurah kesungguhan terhadap program PERMATA adalah semata-mata kerana kepercayaan terhadap ungkapan ‘Setiap Anak Adalah PERMATA Negara’.

Saya percaya perkara ini masih boleh dirunding dan dipertimbangkan bersama YAB Tun Dr Mahathir dan anggota jemaah menteri yang lainnya. Dan saya juga percaya, andai YAB Datuk Seri meletakkan kesungguhan yang sama sepertimana penaung sebelum ini, PERMATA bakal melahirkan generasi yang cemerlang dan luar biasa untuk negara. Jika program PERMATA ini terencat pada masa hadapan kerana tiadanya seorang ‘ibu’ yang membimbing, maka ia merupakan kesedihan yang lebih besar bagi saya berbanding rasa sedih ketika tewasnya BN pada PRU14 yang lalu.

Muhammad Rahimi Osman

 



Comments
Loading...