Dr M mahu kembalikan kekayaan negara dalam 2 tahun


Perdana Menteri berkata 2 tahun bukanlah tempoh masa tetapi cadangan yang mungkin boleh dicapai lebih awal atau lewat.

(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyatakan hasrat memegang jawatan perdana menteri selama 2 tahun, menegaskan kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mengembalikan kekayaan dan menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh berkenaan.

Namun, pada masa sama, perdana menteri berkata 2 tahun itu bukanlah tempoh masa tetapi lebih kepada cadangan yang mungkin boleh dicapai lebih awal atau lewat, tertakluk kepada keadaan.

“Kalau boleh, dalam masa terdekat, saya mahu atasi masalah yang dihadapi. Itulah keutamaan saya.

“Keutamaan itu ialah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya. 

“Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting ialah (kepuasan) hasil kerja atau ‘job satisfaction’. Jadi inilah yang sedang saya usahakan,” kata beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

Temu bual itu antara lain mengupas peranan Pakatan Harapan (PH) dalam memperbaiki kerosakan dilakukan kerajaan dulu, fokus terhadap usaha mengurangkan hutang negara dan menjaga hubungan dengan institusi diraja yang menjadi fokus utama kerajaan hari ini.

Menyentuh mengenai hutang negara sebanyak RM1 trilion, Dr Mahathir berkata sesebuah negara tidak sepatutnya berhutang lebih daripada kemampuan dan berasa hairan bagaimana kerajaan terdahulu boleh berbuat sedemikian.

Antara tindakan yang diambil kerajaan sebelum ini adalah mengumpulkan sejumlah besar pinjaman dari negara lain atau bank asing pada kadar faedah yang tinggi serta daripada sumber tempatan.

Tegas Dr Mahathir, perkara utama yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang di bawah pimpinan PH adalah memastikan pinjaman itu dapat dibayar.

Atas dasar itu PH bertekad mengurangkan hutang selain mencari jalan untuk menyelesaikannya.

“Sebab itu kita bukan nak belanja lagi. Kita nak kurangkan. Kalau kita nak bayar, kita perlu cari jalan. Bukan cara pinjam duit untuk membayar, sebab negara tidak patut berhutang lebih daripada kemampuannya. Kita belanja setakat kita mampu sahaja,” katanya.

Perdana menteri menegaskan itu alasan mengapa aspek kewangan perlu dijaga supaya tidak terlibat dengan hutang.

“Macam (berhutang dengan) Ah Long, kalau kita tak bayar, dia pukul kita. Ini pun serupa juga, jika kita tak bayar, dia (pihak yang memberi pinjaman) pukul kita tetapi lebih kepada kata-kata ‘saya mufliskan kamu’,” kata perdana menteri.

 



Comments
Loading...