Agong sertai qiamulail jam 3.30 pagi


(Harakah) – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersama rakyat Kelantan awal pagi tadi menunaikan qiamulail sempena program ‘Qiam With Me’ di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian bermula jam 3.30 pagi.

Hadir sama Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, anggota kerabat diraja, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentera Kanan Ahmad Yakob, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Program itu berakhir dengan solat Subuh. Orang ramai yang hadir turut menikmati sahur yang disediakan.

Sebelum itu pada malam tadi ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat tarawih bersama kedua-dua baginda juga diadakan di Masjid Sultan Ismail Petra.

Ruang solat masjid penuh dengan kehadiran orang ramai. Kesesakan berlaku di ruang parkir kenderaan dan laluan utama di sekitar masjid. Anggota polis, penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) dan Jabatan Amal mengawal lalu lintas.

Solat tarawih diimamkan Imam Muda Masjid Sultan Ismail Petra, Ustaz Abdul Bari Abdullah. Sempena program itu juga diadakan penyampaian bantuan zakat kepada asnaf.

Seramai 200 penerima menerima sumbangan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Kelantan. Selepas solat tarawih juga diadakan program Moreh Minda yang menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Ibrahim Lew.

Program tersebut sebahagian besar disertai anak-anak muda termasuk yang datang dari Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan penduduk tempatan.

Program tersebut boleh diikuti melalui siaran langsung melalui rtv.kelantan.my. Apa yang menarik perhatian orang ramai apabila Sultan Muhammad V menggunakan sejadah putih di atas sejadah berwarna kuning yang disediakan. Baginda juga berjubah dan berketayap putih.

Program Qiam With Me merupakan acara tahunan di Kelantan yang diadakan setiap Ramadan. Sebelum ini pernah diadakan di Masjid Ismaili, Pasir Pekan dan Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

 



Comments
Loading...