Agong terima mengadap rombongan PAS
(Harakah) – PAS mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong di Istana Negeri di Kubang Kerian petang semalam.
Rombongan PAS itu diketuai Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan.
Hadir sama Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan.
Kunjungan berkenaan diadakan selepas solat Asar. Sebelum itu Menteri Besar, Ustaz Tuan Ibrahim dan Takiyuddin menunaikan solat Asar di Masjid Istana.
Takiyudin berkata, kunjungan hormat tersebut sebagai pertemuan biasa terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Sekarang baru ada peluang untuk kepimpinan PAS Pusat mengadakan pertemuan bersama baginda.
“PAS menjunjung kasih atas perkenan Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas kesudian menerima kami mengadap,” katanya ketika ditemui.
Difahamkan Yang di-Pertuan Agong bercuti dan berada di Kelantan sempena bulan Ramadan. Rabu lepas baginda menyertai program Qiam With Me di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian pada jam 3.30 pagi.
Manakala dalam perkembangan berkaitan wakil-wakil NGO turut mengunjungi hormat baginda bagi merakam sokongan terhadap tuanku.