Harga Barang Turun 30-50 Peratus


(Perak Today) – Barang keperluan asas seperti ayam, sayuran dan daging lembu turun antara 30 hingga 50 peratus sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata beliau menerima maklumat mengenai penurunan harga barangan terbabit, khususnya menjelang Aidilfitri.

“Walaupun tidak besar lagi (peratusan penurunan), harga ayam sebelum tahun lalu lebih RM7 (sekilogram), namun sekarang boleh dibeli dengan harga sekitar RM5 atau RM6.

“Harga sayuran juga ada yang turun sehingga 50 peratus di pasaran. Harga daging lembu juga sudah mampu milik dan boleh dibeli sekitar RM30 sekilogram, tapi harga daging batang pinang masih agak tinggi.

“Namun, secara keseluruhan, harga barang keperluan semasa turun 30 hingga 50 peratus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini, pada Jumaat, lapor BH Online.

Salahuddin berkata, kementeriannya akan mewujudkan satu mekanisme serta persekitaran pasaran yang membolehkan harga kekal murah.

Ditanya sama ada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menaikkan harga barangan terbabit, Salahuddin berkata harga itu akan kekal munasabah dikawal menerusi pengurusan rantaian permintaan dan bekalan dengan baik, selain mewujudkan persaingan dalam pasaran.

 



Comments
Loading...