Polis Indonesia berjaya tangkap Jamal


(FMT) – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos disahkan sudah ditangkap polis Indonesia hari ini, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata pemimpin Umno itu ditangkap pada 6.15 petang waktu Malaysia. 

“Polis Malaysia telah dihubungi untuk menyelaras untuk membawa beliau pulang ke Malaysia,” katanya.

Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas bantuan pihak berkuasa negara itu.

Terdahulu, polis meminta kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Jamal yang dipercayai melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu. 

Jamal, 48, hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi ikat jamin, selepas beliau didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Satu waran tangkap dikeluarkan ke atas Jamal selepas itu, tetapi beliau menafikan melarikan diri dari pihak berkuasa atau berada di luar negara, sebaliknya ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah selesai pada hari itu.

 



Comments
Loading...