NAJIB DEDAH REKOD MAHATHIR
BEKAS perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa program 1Malaysia yang bertujuan menggalakkan keharmonian etnik dan perpaduan negara adalah antara sebab yang menyaksikan hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi renggang.
Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, beliau berkata Mahathir, yang bersekongkol dengan pergerakan pelampau Melayu, PERKASA, ketika itu, merasakan bahawa Najib terlalu ‘tunduk’ kepada masyarakat bukan Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata Mahathir yang berperanan dalam PERKASA dan kemudian menjadi penaung kumpulan itu mengubah rentaknya selepas menyertai Pakatan Harapan dan menjenamakan dirinya semula sebagai seorang “reformis”.
Ditanya apakah beliau percaya perubahan pemimpin berusia 92 tahun itu adalah benar atau sekadar oportunisme politik, Najib merujuk kepada rekod Mahathir.
Katanya, Mahathir melabelkan DAP secara konsisten sebagai parti perkauman dan anti-Melayu.
“Saya tidak serang DAP dengan cara itu, saya tidak kata DAP adalah anti-Melayu secara terang-terangan, tetapi saya prihatin terhadap beberapa dasar mereka,” katanya.
Apabila Malaysiakini menegaskan bahawa antara tema Umno pusat semasa kempen pilihan raya umum ke-14 adalah memomokkan DAP dengan isu bangsa dan agama, beliau menolaknya.
“Saya tidak secara khusus, tidak secara jelas berkata bahawa mereka adalah perkauman atau anti-Melayu atau anti-Islam tetapi saya menyatakan kebimbangan mengenai DAP berhubung dasar mereka,” katanya.
Apabila diberitahu bahawa terdapat pemimpin Umno menggunakan kata-kata sedemikian semasa kempen ketika Umno di bawah kawalannya, Najib berkata parti itu adalah besar.
“Sudah tentu akan ada yang berkata sesuatu dengan bahasa mereka sendiri,” katanya.
Najib berkata, Mahathir, sebaliknya, sering memomokkan DAP dalam hampir semua ucapannya pada masa lalu dan DAP pula akan membalasnya.
Oleh itu, katanya, beliau langsung tidak menjangkakan Mahathir dan DAP akan bergandingan.
“Jadi apabila mereka bersama, itu adalah sesuatu yang tidak saya jangkakan.”
“(Tetapi) saya jangka apabila kamu menyertai pembangkang (ketika itu), diri kamu akan dibersihkan, kamu dibebaskan dari semua kesalahan,” katanya.
Jambatan bengkok …
Sementara itu, Najib juga menyebut beberapa faktor lain yang menyumbang kepada keretakan hubungan mereka.
“Kami (sebelum ini) mempunyai hubungan yang sangat akrab. Kami menghabiskan banyak masa bersama, dia (Mahathir) akan jemput saya ke rumahnya untuk makan malam dan selepas itu kami akan ke bilik di tingkat atas rumahnya dan duduk, berbual.
“Pada peringkat awal selepas saya menjadi perdana menteri, sekitar tahun 2009 dan walaupun selepas pilihan raya umum ke-13, kami masih mempunyai hubungan baik,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata hubungan mereka menjadi tegang apabila Mahathir mula memintanya “perkara-perkara tertentu” yang sukar untuk dilakukannya.
Permintaan pertama Mahathir, katanya, adalah supaya projek jambatan bengkok diteruskan semula – lebuh raya enam lorong untuk menggantikan tambak dari Johor Baharu ke Singapura.
Najib berkata sukar bagi beliau untuk meluluskan projek itu selepas bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkannya.
“Projek itu dibatalkan oleh Pak Lah (Abdullah), jadi sukar untuk saya jelaskan kepada rakyat jika kita memulakan projek itu semula, terutamanya selepas pampasan tinggi dibayar untuk membatalkannya.,” katanya.
Najib menjelaskan bahawa ini mungkin menyaksikan pihak tertentu yang berkaitan dengan jambatan bengkok mendapat ganjaran dua kali.
Bekas perdana menteri itu berkata walaupun beliau cuba memenuhi permintaan Mahathir sedaya upaya, seperti menyediakan lebih dana untuk membangunkan Langkawi dan membantu anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi menteri besar Kedah, namun beliau tetap tidak berpuas hati dengannya.
“Dia tidak senang dengan perkara-perkara tertentu seperti 1Malaysia, dia tidak senang dengan jet itu, jet itu dibeli oleh Pak Lah, tetapi saya perhatikan sehingga kini dia (Mahathir) masih menggunakannya,” katanya.
Najib berkata, perbezaan dasarnya juga membuat Mahathir marah seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pembatalan Ordinan Darurat, layanan terhadap Proton serta gaji minimum yang ditentang oleh Mahathir.
Bekas perdana menteri itu berkata seiring dengan peredaran masa, kemarahan Mahathir meningkat apabila lebih banyak permintaannya ditolak sehingga mengakibatkan keretakan hubungan mereka menjadi pecah.
#CiterMO1
#TeamShafei
#PemantauMalaysiaBaru
#MelayuBangkit