Belum ada ahli Parlimen PH isytihar harta – SPRM


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tiada satu pun ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang menyahut seruan beliau untuk mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

(Malaysia Gazette) – “Tiada mana-mana Ahli Parlimen yang buat (pengisytiharan harta kepada SPRM),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Dr Mahathir hari ini hadir ke SPRM bagi mendengar sesi taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah, di lbu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sejumlah 160 ahli Parlimen PH hadir dengan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Kabinet.

Ditanya samada usaha beliau untuk memerangi rasuah dalam kalangan Ahli Parlimen PH sudah berjaya atau tidak, jawab Dr Mahathir ia akan berjaya sekiranya tiada sabitan kes rasuah dalam barisan pakatan itu pada masa akan datang.

“Saya tidak boleh tahu perkara itu selagi mana saya tidak jumpa kes rasuah dalam  kalangan pemimpin saya. Kalau ada maknanya usaha saya akan sia-sia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu turut berkata, kerajaan tidak menetapkan tarikh kepada semua Ahli Parlimen dan pemimpinnya untuk berbuat isytiharkan harta mereka.

Namun beliau akan pastikan ianya berlaku dalam masa terdekat.



Comments
Loading...