Kenyataan Fadiah berniat jahat, menghasut: Perkasa
Sinar Harian – Kenyataan Peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mendakwa sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan di dalam institusi demokrasi negara berikutan kewujudan monarki dan dianggap ketinggalan zaman di kebanyakan negara adalah sebagai penghasut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, kenyataan ini adalah berniat jahat.
Menurutnya, ini boleh dilihat sebagai usaha mempengaruhi rakyat untuk menghapuskan kuasa dan kedudukan Yang DiPertuan Agong.
“Beliau (Fadiah) jelas menghasut agar institusi diraja dimansuhkan selain mendakwanya telah lapuk.
“Saya tidak faham apa yang dimaksudkannya sebagai lapuk. Sebenarnya mengikut undang-undang, sesiapa berniat untuk menjatuhkan institusi diraja dianggap melanggar undang-undang,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Putra, di sini, hari ini.
Tambah Syed Hassan, sejak PRU14 lalu, semakin banyak kenyataan berani dikeluarkan dan amat dibimbangi sekiranya perkara ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi golongan muda khususnya.
“Ini amat mengejutkan, apatah lagi isu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tahfiz, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan lain-lain disuarakan oleh kaum Melayu sendiri. Apa nak jadi? Adakah mereka faham apa yang mereka lakukan?,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Roslan Kasim berkata, tindakan harus diambil mengikut Akta Hasutan dan usah dibiarkan kerana boleh menjadi ‘barah’.
“Kenyataan sedemikian seperti cuba menjolok sarang tebuan. Tindakan pencegahan harus diambil segera dan elak ia melarat,” katanya.
Terdahulu, dakwaan Fadiah itu dikeluarkan dalam sebuah portal tempatan bagi mengulas sekeping gambar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkok sambil mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dikala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hubungan tegang dengan institusi diraja.