Ibrahim: Pemimpin sokong iktiraf UEC ‘pemimpin tempoyak’
(Malaysiakini) – Bekas presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali hari ini menyelar pemimpin yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf sebagai “pemimpin tempoyak”.
Menjelaskan selaran itu, Ibrahim berkata, “pemimpin tempoyak” baginya adalah pemimpin yang tiada jati diri dan semangat kebangsaan.
“Kalau diteruskan juga (mengiktiraf UEC) hanya untuk memenuhi janji pilihan raya dan mengambil hati golongan minoriti saya anggap mereka ini pemimpin tempoyak.
“Tidak ada jati diri, tidak ada semangat kebangsaan. Pada saya ini pemimpin tempoyaklah.
“Kamu mungkin berpelajaran tinggi tetapi tidak mampu pertahan asas-asas kenegaraan yang penting,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Tempoyak merupakan makanan Melayu yang diperbuat daripada durian yang diperam. Ia mempunyai bau yang menyengat dan sering dicampur dalam makanan.
Ibrahim menggunakan kiasan itu dalam mengulas hasrat kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk tetap mengiktiraf UEC sebagai menunaikan janji pilihan raya.
Tak boleh ubah
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini memberi gambaran pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat ‘flip-flop’ dalam perkara itu.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata kerajaan tidak boleh mengubah perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam dan Melayu termasuk hak biasiswa bumiputera atas dasar kesamarataan.
Tambahnya, ini kerana perkara tersebut adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama demi mencapai kemerdekaan.
Katanya, sebagai contoh, peruntukan sebanyak RM2 bilion yang dikhaskan sebagai biasiswa kepada pelajar bumiputera tidak boleh diganggu atas alasan meritokrasi.
“Ada perkara yang boleh kita kompromi demi kepentingan rakyat Malaysia, tapi jangan sesekali menulis semula perkara yang terdapat di dalam Perlembagaan.
“Bagi saya perjanjian tetap berjanjian, dan kontrak sosial adalah perjanjian yang menjadi hak milik bumiputera,” katanya.
Ada cara sendiri
Dalam perkembangan lain, Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap himpunan yang dianjurkan NGO Pemantau Malaysia Baru.
Bagaimanapun, Ibrahim berkata PERKASA “mempunyai cara sendiri” dan tidak akan menyertai himpunan yang didakwa bagi membantah “pemerintahan DAP yang memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad” itu.
“Masing-masing ada cara masing-masing dan PERKASA ada cara kita sendiri.
“Kerana PERKASA adakalanya tak nak dikaitkan dengan agenda politik,” katanya.
Terdahulu, Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Tok Him hadir ke majlis pelancaran buku Affirmative Action In Malaysia Paradigm Shifts In Higher Education yang disempurnakan oleh Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arsyad Ayub.
Buku tersebut adalah tulisan bersama Ibrahim dengan bekas pensyarah UiTM, Prof Dr R Sankaran.