Najib berang, dakwa Kit Siang samakan Islam dengan kleptokrasi
“Kenyataan Lim hari ini tentang saya di mana beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi jika BN menang PRK Sungai Kandis adalah melampaui batas.”
(Malaysiakini) – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berang dengan Lim Kit Siang kerana mendakwa pemimpin veteran DAP itu menyamakan Islam dengan kleptokrasi jika BN menang pilihan raya kecik (PRK) Sungai Kandis.
Kenyataan Najib melalui Facebook itu hari ini sebagai mengulas kenyataan Lim berhubung penglibatan bekas pengerusi BN itu dalam kempen PRK berkenaan.
“Saya tidak faham obsesi Lim terhadap saya sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang saya secara peribadi walaupun saya tidak lagi perdana menteri atau presiden Umno dan BN.
“Tetapi, kenyataan Lim hari ini tentang saya di mana beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi jika BN menang PRK Sungai Kandis adalah melampaui batas.
“Saya tidak akan dapat menghentikan obsesinya terhadap saya namun Lim tidak patut memperlekeh agama saya dan dijadikan bahan kempen politik,” kata Najib.
Dalam kenyataannya awal hari ini, Lim berkata PRK Sungai Kandis penting bagi mengukur sama ada Najib “berjaya menyamakan Islam dengan kleptokrasi di Malaysia.”
Anggota parlimen Iskandar Puteri itu tidak mengulas lanjut maksud kenyataanya itu, namun berkata dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, Najib dan BN bergantung kepada strategi memomokkan DAP dan Pakatan Hatapan sebagai anti-Islam.
Namun, tambahnya, rakyat menolak “politik toksik” Najib.
“Mereka tidak mahu menyamakan Melayu dan Islam dengan kleptokrasi,” katanya.
Lim juga berkata bahawa BN menggunakan strategi sama di Sungai Kandis dan kini mendapat sokongan PAS.