Umno bantah pecahkan Mara, sukar bantu Melayu, Bumiputera, kata Zahid


Mara sewajarnya dikekalkan sebagai sebuah agensi ananah Bumiputera yang dapat meneruskan perjuangan dihasratkan Kongres Ekonomi Bumiputera 1965.

(FMT) – Matlamat membantu orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi sukar sekiranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) dipecahkan dan diperkecilkan, kata Umno.

Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mara sewajarnya dikekalkan sebagai sebuah agensi amanah Bumiputera yang dapat meneruskan perjuangan dihasratkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera 1965.

“Umno menentang keras usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) merombak kegiatan teras Mara melalui langkah ‘pengasingan dan penyerapan’ badan itu ke bawah beberapa kementerian.

“Seperti memasukkannya ke bawah Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pendidikan. Umno dapat menghidu jika formula ini dilaksanakan. 

“Ia sebenarnya adalah jalan menuju kepada penutupan dan pemansuhan Mara yang selama ini banyak berjasa dalam pembangunan orang Melayu dan Bumiputera seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Usahawan berkata sebahagian unit di dalam Mara akan dipindahkan ke kementerian lain, namun masih belum ada penjelasan rasmi mengenainya dibuat.

Timbalan Menterinya, Dr Hatta Ramli berkata, langkah itu bertujuan mengkoordinasi semua bidang, serta memberi tumpuan dan penekanan, khusus terhadap pembangunan usahawan.

Tambah Dr Hatta, Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) juga akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Mengenai Mara saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara berkenaan dibincangkan Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusoff dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Zahid berkata, adalah tidak wajar menjadikan Mara sebagai mangsa kekejaman politik atau politik balas dendam memandangkan institusi itu terbentuk daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

“Bermula dari Rural Industrial Development Authority (RIDA), kemudian lahirnya Mara dan sehingga detik ini genaplah 52 tahun agensi ini menabur bakti terhadap masyarakat Bumiputera.

“Umno berharap kerajaan bertindak rasional engan menjaga kepentingan awam dan mengekalkan agensi yang selama ini menjadi nadi kepada ekosistem masyarakat akar umbi,” katanya.

Mara sebelum ini pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kementerian itu dibubarkan pada 2009.

 



Comments
Loading...