Pemimpin Umno persoal ‘U-turn’ kerajaan berhubung Forest City


Aziz Kaprawi berkata PH perkara sama yang dikritik mereka dulu berhubung BN, sementara Shahrir Samad berkata, kerajaan hendaklah konsisten.

(FMT) – Seorang bekas timbalan menteri menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana terus membenarkan warga asing membeli hartanah pegangan bebas di Forest City selepas mengkritik kerajaan BN sebelum ini berhubung perkara sama.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pendirian kerajaan itu menunjukkan PH tidak konsisten dan mengelirukan rakyat.

Beliau memberi komen terhadap kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli di Dewan Rakyat semalam bahawa keputusan kerajaan membenarkan warga asing membeli hartanah pegangan bebas di Forest City dalah selari dengan ketetapan Majlis Tanah Negara pada 2014.

“Mereka telah hilang kredibiliti,” kata Aziz merujuk kepada PH.

“Dahulu mereka mendakwa kerajaan BN menjual kedaulatan negara kerana membenarkan warga asing membeli hartanah di Forest City.

“Jika mereka konsisten, mereka sepatutnya meminda undang-undang bagi menghalang penjualan hartanah kepada warga asing, atau paling tidak memberi komitmen bagi menghalangnya daripada berlaku.”

Aziz memberitahu FMT, adalah jelas cakap-cakap pra-pilihan raya PH hanyalah retorik, selain menambah beliau berasa “sedih” bagi pihak rakyat walaupun mereka kini boleh melihat sendiri wajah sebenar PH.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidaklah memeranjatkan apabila PH membuat “U-turn” berhubung pendirian mereka sebelum ini.

“Kini sebagai kerajaan, mereka dapat lihat bahawa kerajaan sebelum ini mematuhi undang-undang, dan mereka juga akan mengikut undang-undang yang sama.”

Jika kerajaan PH “lebih berani” kata beliau, ia boleh meminda dasar yang tidak dipersetujuinya.

“Saya fikir dakwaan mereka terhadap Forest City adalah tipikal sikap pembangkang pada masa itu,” katanya dan menambah bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan orang paling lantang membantahnya.

“PH perlu jelaskan perubahan apakah yang mereka mahu lakukan – undang-undang, dasar dan sebagainya.”

Mungkin masih “terlalu awal” bagi PH melakukannya, tetapi katanya, kerajaan hendaklah bersikap konsisten.

Shahrir juga berkata, tampak seolah-olah menteri baru PH menjawab soalan di Parlimen berdasarkan jawapan yang disediakan oleh pegawai awam.

Dari segi itu katanya, kerajaan perlu membentuk sebuah kaukus menteri bagi memeriksa jawapan Parlimen dan memastikan ia mewakili pendirian PH.

“Mereka harus berfikir di luar kotak.”

Pada Mac tahun lepas, Dr Mahathir menulis di laman blog beliau mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengelirukan rakyat dengan berkata projek Forest City tidak akan memberi kesan ke atas kedaulatan negara kerana hartanah di situ dijual berdasarkan pajakan selama 99 tahun.

Dr Mahathir berkata ramai rakyat Malaysia gagal menukar status tanah milik mereka kepada pegangan bebas sedangkan warga asing boleh melakukannya dengan mudah apabila membeli hartanah di Forest City.

 



Comments
Loading...