PBB: Azmin sombong, merendahkan orang lain
Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Azmin Ali didakwa cuba menakrifkan semula makna perkataan ‘hak’dan ‘royalti’.
(FMT) – Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendakwa Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan sikap sombong dan merendah-rendahkan negeri Malaysia Timur menerusi kenyataan beliau mengenai makna perkataan “royalti minyak”.
Karim memberitahu FMT, Azmin menakrifkan semula hak dan royalti apabila beliau memberitahu Dewan Rakyat Isnin lepas bahawa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) menggunakan istilah “royalti” di luar konteks maknanya dalam kamus dan ia sebenarnya merujuk kepada “bayaran tunai”.
Beliau berkata, kenyataan menteri itu tidak ubah seperti mentaliti “sombong dan kolonial”.
Katanya, sejak awal lagi Sabah dan Sarawak sepatutnya dilayani sebagai “rakan kongsi tulen” dalam usaha sama perniagaan dengan Petronas dan Putrajaya.
“Kami patut mempunyai wakil dalam lembaga pengarah Petronas sejak mula lagi. Kami sepatutnya berhak melihat akaun, dan terlibat dalam keputusan dan pengurusan Petronas.
“Sebagai rakan kongsi, kami tentu mahu tahu berapa banyak gaji eksekutif, kos pengeluaran dan sebagainya kerana ia mempunyai kesan ke atas keuntungan akhir yang kami terima.”
Sebaliknya kata beliau, Putrajaya melayani 2 negeri itu sebagai “angsa emasnya”.
Parti pembangkang dan wakil rakyat mereka sejak beberapa minggu lepas mengkritik kerajaan berhubung kenyataanya yang menyebut bahawa janji manifesto pilihan raya PH berkenaan royalti minyak 20% merujuk kepada peratus keuntungan bersih, bukannya pendapatan kasar.
Dalam kenyataannya Isnin lepas, Azmin berkata, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) merujuk kepada “bayaran tunai” sebanyak 5% daripada keuntungan kasar bagi setiap tong minyak.
Ahli Parlimen Keningau, Datuk Jeffrey Kitingan, yang bercakap kepada FMT semalam berkata, Azmin dan PH ternyata “tertangkap” tidak bercakap benar.
Katanya, mereka amat mengetahui bahawa royalti biasanya didasarkan kepada keluaran kasar.
“Mereka tahu istilah “bayaran tunai” di bawah Seksyen 4 PDA biasanya merujuk kepada bayaran royalti, yang didasarkan kepada keluaran kasar.
“Tetapi sekarang PH mahu mengelak daripada membayar dan merekayasa alasan atau membuat tafsiran berlainan.”
Datuk Johan Ariffin, anggota kumpulan G25 yang terdiri daripada pesara kanan kerajaan dan bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah berkata, Azmin perlu berhenti membuat kenyataan berhubung perkara itu sehingga beliau mengkajinya dengan teliti dan perundingan dengan pihak berkepentingan dimuktamadkan.
Kata beliau, membuat kenyataan “separuh masak” hanya akan menimbulkan kemarahan negeri Malaysia Timur kerana mereka akan mengesyakki ia adalah percubaab untuk mewajarkan pelanggaran janji yang dibuat.
“Paling penting ialah memulakan langkah ke arah perundingan untuk memberikan negeri pengeluar minyak hak sah mereka,” tambah beliau.