Menteri: Projek kereta nasional ke-3 bukan keutamaan negara
(FMT) – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pelaksanaan projek kereta nasional ke-3 bukan keutamaan negara kerana ada banyak perkara perlu ditangani terlebih dahulu.
Katanya, kerajaan masih menunggu kajian kebolehlaksanaan projek yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
“Saya tidak rasa ia adalah keutamaan kepada negara, tapi biar mereka buat kajian dan kita tentukan nanti,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
“Banyak perkara kena lihat sebelum buat keputusan. Setuju atau tidak kena tengok kajian, adakah ia bagus untuk negara atau adakah ia akan beri lebih masalah kepada negara?”
Dr Mahathir dalam lawatannya ke Jepun, Jun lalu, mengesahkan aspirasi kereta nasional 3.0 selepas Proton dan Perodua kerana Proton sudah diambil alih Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dari China, pada Mei 2017.
“Sekarang ia dijual kepada syarikat China, jadi bukan kereta nasional lagi.
“Kita bercita-cita mahu mengeluarkan kereta nasional baru, mungkin dengan pertolongan rakan di Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea kerana mereka berkemampuan mengeluarkan kereta berkualiti yang laris di pasaran dunia.”
Sabtu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 dan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara.