Kerajaan tunai janji 100 hari hanya akan dilaksana selepas kewangan pulih


(FMT) – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melepasi tahap lulus dalam usaha menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh 100 hari.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad komited merealisasikan janji PRU14.

“Walaupun terdapat kategori yang kami berjaya laksanakan, tetapi ada juga kategori dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan dan ada yang dalam proses pelaksanaan, tetapi tidak sepenuhnya. Saya fikir rakyat boleh menerimanya,” katanya mengulas tahap pencapaian PH dalam menunaikan manifesto PRU14.

Antara janji yang sudah ditunaikan adalah penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menstabilkan harga minyak.

“Yang masih belum berjaya dilaksanakan adalah menghapuskan hutang peneroka Felda di mana kerajaan melaksanakannya selepas kedudukan kewangan kerajaan kembali baik,” katanya.

Katanya, Kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Menangani Kos Sara Hidup.

“Majlis Menangani Kos Sara Hidup ini akan dipengerusikan timbalan perdana menteri yang bertujuan melegakan kos sara hidup rakyat, termasuklah kos perumahan, kos pengangkutan, bil utiliti, kesihatan, harga barang dan pendidikan.”

Adun Pantai Jerejak itu berkata, pemimpin PH harus memberi penerangan kepada rakyat kenapa ada janji dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan.

“Kerajaan mesti bersikap terbuka terima teguran dalam hal ini dan kita harus ‘communicate’ dengan baik kenapa kita tidak dapat laksanakan dan tidak menyembunyi atau bersikap ‘denial’ sindrom.”

Beliau berkata, kekuatan kerajaan PH yang berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan baru terbuka dengan teguran dan kritikan.

 



Comments
Loading...