Transgender disaran guna tandas OKU sementara waktu
(Sinar Harian) – Golongan transgender disaran menggunakan tandas Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengelakkan kebimbangan dan perasaan tidak selamat di kalangan orang awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh berkata, saranan itu adalah suatu langkah yang difikirkan sesuai ketika ini, kerana kerajaan turut mengambil kira keresahan dan pendapat yang telah diutarakan ramai pihak yang bimbang berkenaan isu terbabit.
Fuziah berkata kerajaan berusaha menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan seterusnya memastikan golongan berkenaan kembali kepada fitrah.
“Katakanlah secara psikologi mereka adalah wanita tetapi terperangkap di dalam tubuh lelaki, mereka memang rasa tidak selamat atau tidak selesa pergi ke tandas lelaki walaupun mereka ini memang lelaki.
Lelaki, perempuan, pondan-OKU
“Apabila golongan ini (transgender) ke tandas wanita, orang perempuan pula rasa tidak selesa, tidak selamat. Sebab itu situasi ini menjadi satu dilema yang perlu difahami”, katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Laporan akhir-akhir ini membangkitkan isu golongan transgender berkongsi tandas awam dengan wanita hangat diperbincangkan pelbagai pihak susulan sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertemu wakil komuniti transgender, Nisha Ayub.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, banyak perkara yang perlu diambil kira mengenai kecelaruan jantina yang dialami golongan transgender dan untuk mengeluarkan mereka daripada belenggu tersebut, proses berkenaan mengambil masa.
“Kita bukan mengiktiraf golongan ini tetapi dalam proses ‘menyelamatkan’ mereka dari terus hanyut ia sangat perlu masa. Ada ramai golongan ini yang dibantu dan telah berjaya kembali kepada fitrah.
“Kita perlu fahami mereka kerana mereka juga perlu gunakan ruang awam. Kita tidak boleh abaikan situasi ini, sebaliknya harus mendepaninya. Kita harap usaha ini akan membuahkan hasil kerana ia sudah menjadi tanggungjawab kita,” ujarnya.
Terdahulu, Mujahid dalam kenyataan hari ini turut mengakui terdapat kekhilafan ketika sidang media mengenai isu penggunaan tandas awam, sehubungan itu beliau berkata tiada arahan atau keizinan daripada pihaknya untuk komuniti transgender berkongsi tandas awam dengan wanita.