SPRM siasat orang kuat Mat Sabu susulan ‘bantuan RM800k’
(Mkini) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Ini susulan dakwaan dia menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dan dikeluarkan daripada status muflis.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa siasatan sedang dijalankan tetapi enggan mendedahkan lanjut butiran berkaitan.
Sementara itu, sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, pegawai itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu.
Status itu kekal sehingga penghujung Mei lalu, apabila beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke dalam akaun jabatan itu oleh beberapa pihak untuk penyelesaian hutangnya.
“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber.
Sumber yang lain berkata SPRM telah merakamkan kenyataan pegawai itu untuk membantu siasatan.
Selain dia, sepuluh lagi individu telah dirakamkan kenyataan, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.
“Agak meragukan bila dia dikatakan akan dilantik sebagai pembantu kepada menteri,” katanya.
Sumber berkata SPRM menyiasat sama ada hutang itu diselesaikan dengan niat mendapatkan projek sebagai balasan.
Mohamad, yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), melapor diri sebagai menteri pertahanan pada 22 Mei, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan bersama 13 lagi pemimpin Pakatan Harapan.
Malaysiakini sudah menghubungi menteri dan seorang setiausahanya serta masih menunggu penjelasan mereka.