USA bersetuju supaya Indonesia menyerahkan kapal Equanimity kepada Malaysia


(FMT) – Kerajaan menegaskan tindakan menyita kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho adalah sah dan tidak merampas prosiding negara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan Amerika Syarikat bersetuju supaya Indonesia menyerahkan kapal Equanimity kepada Malaysia.

“Jadi, tuduhan yang mengatakan Malaysia merampas prosiding negara lain adalah tidak berasas sama sekali,” katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Liew berkata, kerajaan juga mempunyai maklumat lengkap yang memperlihatkan Low atau Jho Low merupakan pemilik kepada Equanimity.

“Waran tangkap dikeluarkan kerajaan terhadap defenden iaitu pemilik kapal Equanimity. Jadi setakat ini, merekalah pemilik kapal ini seperti yang dinyatakan dalam prosiding mahkamah.

“Kerajaan pada masa ini menunggu kepulangan Jho Low untuk menuntut kapal Equanimity sekiranya dimilikinya, kita sentiasa menunggu Jho Low di negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Jho Low menegaskan tindakan kerajaan menyita kapal Equanimity sebagai tidak sah dan merampas prosiding undang-undang negara lain.

Tambah Liew, beberapa urusan jual beli kapal itu sendiri diwakili peguam Jho Low, bahkan ibu bapa Jho Low sendiri melihat kapal itu di Rotterdam, Belanda pada 2013 sebelum diserahkan kepada ahli perniagaa itu pada 2014.

“Pada 24 Mac 2014, seorang peguam di London mewakili Jho Low untuk membeli ‘financial statement’ dengan ‘structure chart, ‘detailing’ untuk pemilikan kapal. Dipercayai kapal tersebut diserahkan pada Jun 2014,” katanya.

 



Comments
Loading...